Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Keuntungan bersih Malayan Banking Bhd (Maybank) melonjak 12.3 peratus kepada RM2.36 bilion pada suku ketiga berakhir 30 Sept 2023 berbanding RM2.10 bilion yang direkodkan dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Pendapatan menokok kepada RM16.01 bilion daripada RM13.02 bilion, kata bank keempat terbesar di Asia Tenggara berdasarkan aset dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Sementara itu dalam satu kenyataan berasingan, kumpulan itu berkata jumlah asetnya meningkat daripada RM945 bilion (setakat Dis 2022) kepada RM1.0 trilion sehingga Sept 2023, “dan buat pertama kalinya ia melangkaui paras RM1.0 trilion.”

Angka pinjaman kasar kumpulan berkembang kukuh sebanyak 5.1 peratus dari tahun ke tahun pada suku ketiga, naik 3.7 peratus serta 3.0 peratus, masing-masing dalam pasaran tempatannya iaitu di Malaysia dan Singapura, manakala pasaran lain menyumbang tambahan berjumlah 5.5 peratus.

Deposit kasar kumpulan berkembang sebanyak 3.5 peratus selepas deposit tetap naik 20.3 peratus, mengimbangi penurunan sebanyak 8.8 peratus dalam deposit lain dan 8.9 peratus dalam akaun simpanan akaun semasa (CASA).

Pendapatan operasi bersihnya bagaimanapun merosot 5.2 peratus dari tahun ke tahun kepada RM6.75 bilion, disumbangkan oleh penurunan dalam pendapatan berasaskan dana bersih sebanyak RM4.81 bilion berbanding RM5.29 bilion setahun sebelumnya apabila margin faedah bersih dimampatkan berikutan persaingan pendanaan yang berterusan .

Pendapatan bukan faedah (NOII), bagaimanapun, melonjak 6.1 peratus dari tahun ke tahun kepada RM1.94 bilion manakala peruntukan rosot nilai bersih bertambah baik dengan penurunan 59.3 peratus kepada RM342.2 juta.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Khairussaleh Ramli berkata, “cabaran global masih kekal tetapi Maybank akan terus mengejar peluang untuk pertumbuhan berpandukan strategi korporatnya merentas semua pelanggan dan segmen perniagaannya dalam operasi ASEANnya, mengekalkan kedudukan mudah tunainya, memperbaiki kualiti asset dan mengekalkan tahap modal yang kukuh.”

“Memberi manfaat kepada pelanggan serta meningkatkan pengalaman pelanggan melalui produk dan penyelesaian yang relevan disamping penambahbaikan proses yang memudahkan pembukaan akaun dan permohonan pinjaman telah menghasilkan penggunaan perkhidmatan yang lebih luas.

‘Kami terus memacu kecekapan pendigitalan dan operasi serta membina momentum untuk pertumbuhan hasil masa depan yang dirangsang oleh 12 program strategik di bawah strategi M25+ dan pelaburan sasaran,” kata Khairussaleh.

Sehingga suku ketiga, pembiayaan Islam membentuk 68.1 peratus daripada jumlah pembiayaan Maybank Malaysia manakala bahagian pasaran aset Islam Maybank Islamic di Malaysia berada pada 29.2 peratus.

Insurans dan Takaful Etiqanya mencatatkan peningkatan kukuh dalam Untung Sebelum Cukai (PBT) kepada RM645.4 juta untuk sembilan bulan (9M) berakhir 30 Sept 2023, daripada kerugian RM197.8 juta setahun sebelumnya.

Di lain-lain pasaran utamanya, Maybank Indonesianya mencatatkan PBT sebanyak 1.66 trilion rupiah selama sembilan bulan, meningkat 11.8 peratus daripada 1.48 trilion rupiah dalam tempoh yang sama tahun lepas susulan pendapatan yang lebih baik dalam komposisi pinjaman bank, terutamanya daripada pinjaman perusahaan peruncitan kecil dan sederhana berikutan peningkatan berterusan dalam perbelanjaan awam.

Sementara itu, Maybank Singapura menyaksikan penurunan dalam PBT sebanyak 4.2 peratus dari tahun ke tahun kepada S$505 juta, dipengaruhi oleh pendapatan yang lebih rendah dan overhed yang lebih tinggi. Bagaimanapun, elaun kerugian pinjaman dihapuskira telah mengurangkan kemerosotan, katanya.

“Kami juga menyasarkan untuk terus menggunakan penyelesaian pembiayaan dan penyahkarbonan mampan bagi pelanggan kami kerana kami sendiri mengukir laluan yang jelas ke arah sifar bersih.

“Kami turut berbesar hati kerana usaha holistik kami telah diiktiraf dengan beberapa anugerah, terutamanya sebagai satu-satunya syarikat Malaysia yang termasuk dalam Syarikat Terbaik Dunia Time 2023 yang terdiri daripada 750 syarikat,’ tambah Khairussaleh. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast