Menara KWSP Kwasa Damansara, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 08 MEI 2023.

KUALA LUMPUR – Objektif penubuhan Kwasa Land Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk membangunkan Kwasa Damansara di Selangor, masih belum tercapai sepenuhnya mengikut perancangan asal.

Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2022 yang dikeluarkan hari ini menyatakan, perancangan itu telah ditetapkan oleh Majlis Ekonomi yang ditubuhkan oleh kerajaan pada Ogos 2008 bagi menangani kesan ketidakstabilan ekonomi dunia ke atas ekonomi Malaysia.

Cadangan asal pelan konsep pembangunan Kwasa Damansara itu menetapkan bahawa pembangunan perlu dilaksanakan dalam tempoh 15 tahun mulai Julai 2012 hingga 2027 dan pada 28 Mei, 2019, Kwasa Land membentangkan penilaian semula strategi perniagaan kepada lembaga pengarahnya dengan sasaran tempoh pembangunan Kwasa Damansara selama 25 tahun iaitu sehingga 2035.

Susulan itu pada 8 Nov, 2021, lembaga pengarah meluluskan semakan semula sasaran tempoh pembangunan menerusi kajian hala tuju strategik syarikat dengan pelanjutan tempoh baharu hingga 2047, kata laporan itu.

Bagaimanapun, semakan audit mendapati dalam tempoh 11 tahun hanya 2.10 hektar (0.4 peratus) daripada keseluruhan 536 hektar plot tanah boleh dijual telah siap dibangunkan.

“Seluas 258 hektar (48.2 peratus) masih belum dibangunkan oleh rakan pemaju selain (pembangunan) baki 275 hektar (51.4 peratus) belum bermula setakat 1 April, 2023.

“Semakan lanjut mendapati sebanyak 10 rakan pemaju telah dilantik dan diberi hak pembangunan bagi 260 hektar (48.6 peratus) daripada keseluruhan keluasan 536 hektar plot tanah boleh dijual,” kata laporan itu.

Menurut laporan itu, sebahagian daripada faktor kelewatan pembangunan tanah di bawah pentadbiran Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) adalah di luar kawalan Kwasa Land seperti perubahan proses penukaran zon guna tanah daripada Rancangan Tempatan Petaling Jaya 2 (RTPJ2) kepada Rancangan Kawasan Khas (RKK) yang menyebabkan kelulusan Kebenaran Merancang (KM) hanya diperoleh pada 2021.

Semakan audit seterusnya juga mendapati KWSP masih belum menerima bayaran balik prinsipal pembiayaan atau dividen daripada keuntungan Kwasa Land sejak penubuhannya pada 2009.

Setakat 31 Dis, 2022, KWSP telah menerima pulangan RM683.24 juta dalam bentuk pembayaran faedah pembiayaan oleh Kwasa Land berserta RM472.45 juta faedah yang dipermodalkan, kata laporan itu.

Analisis audit terhadap data kewangan setakat 31 Dis, 2022 juga mendapati KWSP menyalurkan dana sebanyak RM2.941 bilion kepada Kwasa Land sejak penubuhannya iaitu masing-masing dalam bentuk tunai (RM2.469 bilion) dan bukan tunai (RM472.45 juta).

Berikutan itu, Laporan Ketua Audit Negara menyarankan Kwasa Land untuk mengambil langkah proaktif dan berkesan bagi menambah baik sasaran penubuhan serta pembangunan Kwasa Damansara.

“Kwasa Land perlu menilai semula model dan strategi pembangunan Kwasa Damansara bagi memastikan KWSP menerima pulangan pelaburannya dalam Kwasa Land dan seterusnya memberi pulangan kepada pencarum KWSP dalam bentuk dividen,” kata laporan itu. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast