PUTRAJAYA – Karnival Usahawan Desa (KUD)@ Putrajaya 2023 anjuran Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bermula sejak semalam merupakan platform terbaik kepada usahawan dan peniaga kecil mempromosi produk masing-masing.
Itu pandangan majoriti usahawan yang menyertai karnival tersebut.
Peniaga aiskrim perisa melon daripada Sungai Besar, Kartini Abdul Kadir, 32, berkata, program tersebut dapat meluaskan lagi pasaran perniagaannya.
Menurutnya, kini aiskrim melon hasil buatan sendiri tidak hanya dikenali oleh penduduk di Sungai Besar.
“Alhamdulillah, saya kali ini dapat jemputan daripada RISDA (Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah) untuk berniaga di sini untuk kembangkan pasaran dan produk.
“Sebagai usahawan ini platform dan peluang terbaik sebab kita dapat kenalkan produk kepada orang ramai sebab ramai lagi yang tidak tahu buah melon boleh dipelbagaikan,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Selain itu, pengusaha daging kambing perap, Ahmad Daud Ismail, 44, berkata, KUD adalah program yang paling dinantikannya kerana ia merupakan peluang keemasan untuk memperluaskan pasaran perniagaan yang dijalankannya sejak 17 tahun lalu.
Ujar beliau, meskipun perniagaannya sudah bertapak selama belasan tahun namun sebagai usahawan, beliau perlu sentiasa berusaha untuk memastikan pasaran kambing perap miliknya konsisten dan pendapatan meningkat.
Beliau optimis para peniaga yang menyertai KUD akan dapat meningkatkan pendapatan masing-masing.
“Banyak kelebihan untuk usahawan dalam penganjuran karnival, peluang seperti ini memang sangat diperlukan tambahan lagi dalam waktu sekarang untuk meningkatkan jualan dalam masa yang sama menaikkan penjenamaan.
“Peluang seperti ini tidak semua usahawan dapat saya sangat bersyukur dengan peluang yang diberikan ini. Kita harapkan hasil jualan bertambah baik,” katanya.
Tidak hanya menambah pendapatan dan meluaskan pasaran, Daud berkata, karnival berkenaan menjadi ruang untuknya mencari ejen dan stokis penjual kambing perap dari seluruh negara.
Dalam pada itu, pembuat wau daripada Kelantan, Muhd Azeimi Mohd Noor, 43, berkata, KUD adalah peluang yang tidak sepatutnya dilepaskan oleh para usahawan tempatan.
Jelas beliau, ini kerana program itu dapat memperkenalkan produk tempatan kepada masyarakat yang juga berdaya saing dengan produk luar.
Mengulas lanjut Muhd Azeimi sentiasa menganggap program seperti itu sebagai kaedah untuk masyarakat khususnya generasi muda mengenali wau, proses pembuatan dan cara terbaik menerbangkannya.
“Kami membawa kumpulan kami sebagai pembuat wau. Kita sediakan tiga kategori, pameran, demonstrasi membuat dan menerbangkan wau selain menjualnya,” katanya.
Meskipun sudah menceburi bidang pembuatan wau selama berpuluh tahun, beliau berkata, permainan tradisional itu perlu sentiasa dipamerkan kepada masyarakat menerusi pelbagai platform.
“Saya sering mewakili negara ke luar negara ke Itali, Perancis, Indonesia, Turki untuk pameran wau. Dengan cara menyertai program begini dapat membantu usahawan di Malaysia promosi produk masing-masing dan bertemu dengan pembeli, berinteraksi dan meningkatkan pendapatan usahawan,” tambahnya.
KUD @ Putrajaya 2023 dianjurkan selama lima hari di Anjung Floria sejak semalam.
Karnival yang bermula 10 pagi hingga 10 malam itu menampilkan pelbagai pelbagai aktiviti menarik selain menyediakan 800 gerai pameran termasuk jualan membabitkan pelbagai usahawan.
Kumpulan sasar bagi program tersebut adalah usahawan luar bandar yang mendapat bimbingan KKDW, agensi dan usahawan luar bandar berpotensi yang memerlukan bantuan khidmat nasihat dalam meningkatkan produktiviti dan memperkembangkan perniagaan. – MalaysiaGazette