TASEK GELUGOR – Satu lagi ugutan ancaman bom diterima menerusi e-mel membabitkan sebuah sekolah menengah agama di Jalan Pokok Machang di sini hari ini.

Ia menjadikan sebanyak empat laporan ugutan berkenaan diterima sejak kelmarin.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, ancaman bom itu diterima menerusi e-mel pada Selasa lalu namun pihak pengurusan hanya menyedari menyedarinya hari ini.

“Susulan itu, guru dari sekolah tersebut membuat laporan berhubung isu itu pada pukul 1.55 tengah hari tadi.

“Berdasarkan maklumat e-mel ia dari pengirim yang sama dengan tiga sekolah yang menerima e mel pada Selasa,” katanya hari ini.

Terdahulu media melaporkan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima sebanyak 44 laporan berhubung ancaman bom palsu di seluruh negara sejak Selasa lepas sehingga 8 pagi tadi.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, jumlah yang diterima itu melibatkan sekolah kerajaan, swasta dan antarabangsa.

Beliau berkata, akaun e-mel yang menggunakan nama “Taktstorer” itu dikenal pasti berasal daripada Cyprus dan alamat protokol internet e-mel itu dari Finland yang sering berubah. – MalaysiaGazette