SHAH ALAM – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa Institusi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) supaya menyediakan pengajaran dalam teknologi baharu seperti Kepintaran Buatan (AI).
Katanya, peruntukan berjumlah RM6.8 bilion kepada institusi TVET seharusnya digunakan sebaik mungkin dalam meneroka bidang baharu.
Anwar berkata, beliau akan berbincang dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mempengerusikan sekretariat TVET negara supaya diwujudkan kursus berkaitan AI.
“Kita perlukan kerjasama dengan pengurusan jangan ada keengganan untuk menerima perubahan ini. Kita latih untuk anak-anak kita, untuk apa? Untuk mendapat pekerjaan yang terbaik supaya gajinya jangan setakat RM2000.
“Sebanyak 95 peratus graduan TVET mendapat pekerjaan tetapi gaji majoriti masih sekita RM2,000. Ini tidak cukup. Saya tidak setuju. Bagaimana hendak ditingkatkan lebih RM3,000? Iaitu dengan memberi latihan dan kemahiran tambahan yang akan membolehkan mereka mendapat pendapatan yang lebih tinggi,” katanya.
Perdana Menteri berkata, Malaysia tidak boleh ketinggalan dalam bidang AI dan kerana itu dalam Belanjawan 2024 beliau mengumumkan fakulti AI pertama negara di Universiti Teknologi Malaysia.
Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Majlis Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri (MATEPM) anjuran Kementerian Sumber Manusia, di sini, hari ini.
Tambah Anwar, antara rungutan yang diterima daripada pelabur luar seperti Zhejiang Geely Holding Group Co yang membuat pelaburan besar bagi industri automotif di Tanjung Malim adalah kekurangan pekerja berkemahiran tinggi.
“Masalahnya satu sahaja iaitu tahap kemahiran tinggi. Maka Geely telah menyediakan 300 tempat bagi jurutera dan lulusan TVET dan institusi lain dibawa ke universiti di China untuk memenuhi keperluan itu.
“Kalau dalam bidang IT masih ada kekurangan, dalam bidang automobil di peringkat tertinggi. Ini cabaran bagi kita. Berapa belanja untuk TVET dan kemahiran seperti ini? RM6.8 bilion setahun. Bukan kecil.
“Untuk keperluan anak-anak kita bagi menjamin masa depan kita tambah perbelanjaan. Jumlah terlalu besar. Sebab itu saya minta Datuk Seri Zahid untuk mempengerusi sekretariat TVET membantu manfaatkan sepenuhnya,” kata Anwar.
Perdana Menteri berkata, beliau telah menegaskan kepada Jemaah Menteri mengenai keperluan bekerjasama dengan industri dalam mempertingkatkan kemahiran tinggi rakyat.
Ini kerana Malaysia tidak boleh ketinggalan disebabkan teknologi berubah dengan cepat dan laju.
Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri merupakan anugerah tertinggi yang diberikan kepada pemenang terbaik keseluruhan dalam Pertandingan WorldSkills Malaysia Belia (WSMB) dan WorldSkills Malaysia Pengajar (WSMP).
Anugerah tersebut diberikan kepada Muhammad Hakimi Abu Bakar (GiatMARA Kota Bharu) dan Hayutun Nufus Roshisham (KV Kajang) bagi kategori pelajar dan Mohd. Fairuz Hamdzah (IKM Lumut) dan Mohd. Nazeri Abdul (Kolej Perhebat) bagi kategori pengajar.
Manakala Datuk Shamsuddin Amar pula dipilih sebagai penerima Anugerah Tokoh Mahir 2023.
Sebanyak 28 bidang dipertandingkan bagi kategori belia (WSMB), 10 bidang kategori pengajar (WSMP) dan 7 bidang kategori junior (JSM).-MalaysiaGazette