Gambar fotofit salah seorang suspek.

TELUK INTAN – Seorang lelaki warga emas terpaksa menerima lima jahitan di jari akibat ditetak menggunakan parang dalam kejadian samun di kediamannya di Taman Indah Jaya di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian samun di rumah teres satu tingkat itu pukul 5.20 petang sebelum bergegas ke lokasi bagi siasatan lanjut.

Hasil siasatan mendapati mangsa berusia 74 tahun itu didatangi seorang lelaki yang menawarkan kerja pengubahsuaian di hadapan pagar rumah.

“Terpedaya dengan tawaran tersebut, membenarkan suspek itu memasuki rumahnya namun sebaik masuk suspek bertindak menolak mangsa jatuh ke lantai.

“Mangsa cuba melarikan diri namun dihalang suspek dengan bertindak menetak tanganya menggunakan sebilah parang.

“Suspek kemudian mengikat mangsa menggunakan tuala sebelum dua lagi suspek lain masuk ke dalam rumah,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Menurut Ahmad Adnan, kesemua suspek menggeledah rumah mangsa sebelum melarikan barang kemas, telefon bimbit, jam tangan, wang tunai RM3,000 serta kereta jenis Perodua Axia nombor pendaftaran AKF 7227.

“Selepas kesemua suspek melarikan diri bersama barangan tersebut mangsa meminta bantuan daripada orang awam berhampiran.

“Mangsa juga telah mendapatkan rawatan di Hospital Teluk Intan dan terpaksa menerima lima jahitan di jari telunjuk akibat ditetak,” katanya.

Tambah Ahmad Adnan, hasil siasatan unit forensik berjaya menimbulkan 11 kesan cap jari di lokasi selain pengecaman wajah melalui fotofit berjaya sebanyak 70 peratus.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 394/379A Kanun Keseksaan dan orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kes ini boleh menghubungi pegawai penyiasat kes Inspektor Nurul Fa’eqa Razak di talian 05 629 9222. – MalaysiaGazette