Anggota Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Islam dan Tahfiz Negeri Selangor, Datuk Prof Dr Mujaini Tarimin melawat kelas pada Majlis Perasmian Kelas Tahfiz Khairul Ummah di Penjara Kajang, Selangor. Foto WAN NABIL NASIR, 24 NOVEMBER 2023.

KAJANG – Seramai 20 banduan terpilih untuk menjadi pelajar perintis bagi mengikuti Kelas Tahfiz Khairul Ummah Penjara Kajang yang julung kalinya ditubuhkan di penjara berkenaan.

Timbalan Komisioner Jeneral Penjara (Pemasyarakatan), Datuk Ibrisam Abdul Rahman berkata, penubuhan itu merealisasikan hasrat Jabatan Penjara Malaysia untuk mewujudkan kelas tahfiz di Penjara Kajang.

Menurutnya, ia adalah selaras dengan matlamat jabatan itu bagi mengembangkan pengajian tahfiz dengan menubuhkan kelas atau sekolah tahfiz dalam penjara di setiap negeri.

“Ketika ini, model pelaksanaan tahfiz Jabatan Penjara dapat dilihat menerusi Sekolah Agama Tarbiyyah Husnul Khatimah (SATHK) di Penjara Kluang, Johor dan Sekolah Tahfiz Baitul Hikmah di Penjara Penor, Pahang selain kelas tahfiz khas di semua institusi penjara.

Timbalan Komisioner Jeneral Penjara (Pemasyarakatan), Datuk Ibrisam Abdul Rahman berucap pada Majlis Perasmian Kelas Tahfiz Khairul Ummah di Penjara Kajang, Selangor. Foto WAN NABIL NASIR, 24 NOVEMBER 2023.

“Saya yakin bahawa banduan terpilih untuk menjadi huffaz Al-Quran hasil sistem pendidikan tahfiz ini dapat membentuk dimensi baharu, sekali gus memastikan golongan banduan tidak terpinggir daripada pembangunan pendidikan Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Perasmian Kelab Tahfiz Khairul Ummah Penjara Kajang, di sini, hari ini.

Hadir sama pada majlis itu, Anggota Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) Datuk Prof Dr Mujaini Tarimin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Islam dan Tahfiz Negeri Selangor.

Ibrisam berkata, Jabatan Penjara Malaysia mempunyai 167 pegawai dan kakitangan lantikan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Katanya, mereka membantu menyediakan perkhidmatan pemulihan, pengajaran dan bimbingan rohaniah kepada banduan dalam aspek penguasaan ilmu fardhu ain serta Al-Quran.

“Dengan nisbah 1:370 bilangan guru kader Jakim berbanding jumlah banduan Islam, ia adalah satu tanggjawab berat untuk dipikul pegawai penjara kerana membabitkan 61,874 banduan beragama Islam daripada keseluruhan 78,734 banduan di semua institusi penjara.

“Pada tahun ini, jabatan ini juga menerima seramai 124 pengisian guru takmir daripada 267 kuota diperuntukkan Jakim sekali gus meringankan beban sedia ada kepada kader-kader Jakim di institusi penjara,” katanya.

Sementara itu, Dr Mujaini berkata, sebanyak lima Sekolah Berasaskan Pendidikan Tahfiz iaitu Maahad Integrasi Tahfiz Selangor (MITS) selain 343 sekolah tahfiz swasta.

Anggota Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Islam dan Tahfiz Negeri Selangor, Datuk Prof Dr Mujaini Tarimin berucap pada Majlis Perasmian Kelas Tahfiz Khairul Ummah di Penjara Kajang, Selangor. Foto WAN NABIL NASIR, 24 NOVEMBER 2023.

“Dalam konteks institusi penjara, saya difahamkan banduan menerima pengajian Al-Quran berteraskan kaedah 4T iaitu Talaqqi, Tadarus, Tadabbut dan Tahfiz.

“Sementara itu, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sedang memproses perlantikan guru tahfiz dan tidak lama lagi Jabatan Penjara Malaysia akan menerima kehadiran empat guru lantikan JAIS.

“Seramai 20 penghuni yang terpilih dalam program ini diharap menjadi contoh kepada rakan (banduan) lain dengan memanfaatkan masa membaca dan menghafal Al-Quran,” tambahnya. – MalaysiaGazette