Suasana persekitaran kediaman warga emas yang didakwa menghalau empat beradik berusia 10 bulan hingga 11 tahun di Kampung Kuchai, Bota.

PARIT – Empat beradik yang ditinggalkan di Kompleks Pentadbiran Perak Tengah di Kampung Gajah pada pagi Khamis bukanlah di halau oleh nenek mereka seperti yang didakwa oleh salah seorang daripada kanak-kanak berkenaan.

Malah warga emas berusia 75 tahun itu bersama keluarganya memberi makan serta menjaga ke semua kanak-kanak terbabit sejak diserahkan kepada mereka awal November lalu.

Menurut salah seorang ahli keluarga warga emas berkenaan, wanita itu sudah uzur dan menghidap diabetes dan dijaga oleh anak-anaknya di kediaman mereka di Kampung Kuchai, Bota.

Dia yang ingin dikenali sebagai Ismail berkata, tuduhan yang dilemparkan terhadap warga emas itu tidak benar sama sekali dan meminta orang ramai agar berhenti menyalahkan wanita itu.

Jelasnya, segala yang terjadi berpunca daripada salah seorang anggota keluarga terbabit yang juga bapa kepada empat beradik tersebut sehingga warga emas dan keluarganya menerima kecaman daripada orang ramai.

“Perkara ini bermula apabila seorang wanita yang mendakwa adik angkat kepada ibu empat beradik berkenaan datang ke kediaman kami menghantar mereka dan meminta kami menjaganya.

“Kesemua mereka kemudiannya tinggal bersama kami hampir tiga minggu sehinggalah awal pagi semalam (Khamis) bapa mereka memaklumkan mahu membawa anak-anaknya ke pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kampung Gajah menaiki motosikal.

“Selepas keluar bersama anak-anaknya dia tidak pulang sehinggalah kami menerima berita bahawa empat beradik berkenaan dikatakan dihalau keluar rumah ,” katanya ketika ditemui di kediamannya.

Mengulas lanjut Ismail berkata, selepas kejadian berkenaan dia cuba menghubungi bapa kepada empat beradik tersebut namun sehingga kini dia gagal dihubungi dan tidak diketahui keberadaannya.

“Saya mohon agar berhentilah menyalahkan nenek berkenaan kerana bukan dia yang halau budak-budak itu dan dia sedang bersedih dengan apa yang berlaku,” katanya.

Ditanya mengenai ibu dan bapa empat beradik berkenaan Ismail berkata, hubungan kedua-dua mereka tidak dapat disahkan memandangkan sudah tidak tinggal bersama selain anak-anak mereka juga tidak mempunyai pengenalan diri.

“Kami juga pernah membawa empat beradik berkenaan ke JKM bagi mendapat pembelaan dan penjagaan sewajarnya memandangkan sikap kedua-dua ibu bapa mereka tetapi sekarang lain yang terjadi,” katanya.

Terdahulu, seorang nenek didakwa menghalau empat beradik yang didakwa cucunya berusia 10 bulan hingga 11 tahun keluar dari kediamannya di Kampung Kuchai, Bota, pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superitendan Hafezul Helmi Hamzah berkata, hasil pertanyaan ke atas kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun memaklumkan bahawa mereka telah dihalau dari rumah oleh neneknya yang tinggal di Kampung Kuchai.

“Mereka kemudiannya dihantar ke Kompleks Pentadbiran Perak Tengah menaiki kereta oleh seorang perempuan yang tidak dikenali,” katanya.

Ujar beliau ke semua empat beradik berkenaan telah dihantar ke rumah perlindungan kanak-kanak di Gopeng bagi tindakan lanjut. -MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Nenek halau empat cucu 11 tahun hingga 10 bulan dari rumah

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast