Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain. Foto MUHD NA’IM, 21 SEPTEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Hanya Penolong Pegawai Jabatan Komunikasi Komuniti (J-COM), Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani yang mampu membantu polis dalam merungkai identiti dan peranan Mr. H dalam siasatan kes penularan video perbualan lucah yang dikaitkan dengan Ketua Pengarah jabatan itu, Datuk Dr. Mohammad Agus Yusoff.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Komisioner Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, meskipun Mr. H selesai diambil keterangan semalam, namun keterangan daripada Abdul Wahab diperlukan untuk mengesahkan identiti individu tersebut.

Katanya, polis kini cuba untuk mendapatkan kerjasama Abdul Wahab bagi membantu menyelesaikan kes ini.

“Kita memberi jaminan bahawa keselamatan dia (Abdul Wahab) terjamin dan harap tampil segera membantu siasatan kami,” katanya pada sidang media di Bukit Aman, di sini, hari ini.

Pada sidang media yang diadakan 17 November lalu, Abdul Wahab mendakwa dia diarah oleh pegawai atasan yang digelarnya sebagai Mr. H untuk merakam perbualan antara beliau dan Muhammad Agus.

Abdul Wahab mendakwa isi perbualan dalam video tular yang mengandungi unsur lucah itu bukan seperti yang tersebar dan tular dalam media sosial, sebaliknya video yang dirakamnya itu tidak mempunyai audio.

Ditanya sama ada polis sudah mengenal pasti identiti Mr. H, Mohd Shuhaily berkata, identiti individu itu masih misteri disebabkan pihaknya masih belum berjumpa Abdul Wahab.

“Setakat ini semua hearsay (desas desus), buat masa ini (identiti Mr. H) kita ambil dari pengadu sendiri, pada realitinya saya tidak boleh confirm (sahkan) pasal Mr. H kerana realitinya Mr.H masih jadi misteri.

“Mr. H masih misteri untuk polis sebab masih belum jumpa dengan Abdul Wahab, lepas dia (Abdul Wahab) tampil beri keterangan mengenai Mr.H, barulah secara positifnya kita boleh sahkan siapa Mr.H identiti serta peranannya,” ujarnyanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast