Jabatan Kesihatan Melaka melakukan siasatan berhubung dakwaan terhadap kualiti perkhidmatan Hospital Melaka yang kurang memuaskan, Selasa lalu. susulan penularan satu paparan aplikasi TikTok menggunakan nama @Ummy FELLAH kelmarin yang mendakwa ibunya, pesakit warga emas tidak mendapat layanan sewajarnya.

MELAKA – Jabatan Kesihatan Melaka (JKNM) sedang melakukan siasatan berhubung dakwaan terhadap kualiti perkhidmatan Hospital Melaka yang kurang memuaskan, Selasa lalu.

Pengarah JKNM Datuk Dr Rusdi Ab Rahman berkata, ia susulan penularan satu paparan aplikasi TikTok menggunakan nama @Ummy FELLAH kelmarin yang mendakwa ibunya, pesakit warga emas tidak mendapat layanan sewajarnya.

“Untuk makluman, pesakit merupakan warga emas yang hadir bersama waris ke Klinik Pakar Ortopedik dan Unit Radiologi Hospital Melaka kira-kira pukul 9 pagi, Selasa lalu.

“Hospital Melaka sedang menyiasat isu yang tular itu dan satu pertemuan bersama pihak waris akan diadakan bagi memberikan penjelasan selepas siasatan selesai dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sehubungan itu, beliau berharap orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menyebabkan salah faham dalam kalangan masyarakat.

Rabu lalu, tular di aplikasi Tiktok seorang wanita mempersoalkan di mana pengurusan mengutamakan warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan ibu mengandung di hospital itu apabila sanggup membiarkan ibunya, pesakit strok dan berkerusi roda menunggu satu jam 20 minit untuk mendapatkan rawatan.

Dakwa beliau, usahanya untuk menerangkan keadaan sakit ibunya dengan harapan dapat didahulukan hanya dibalas sinis oleh jururawat bertugas memaksanya menunggu lebih lama.

Keadaan itu akhirnya menyebabkan ibunya muntah kerana terlalu lama menahan sakit di ruang pendaftaran pesakit.

Melihat kejadian itu, dakwanya, jururawat lain kemudian tampil meminta maaf dan menjelaskan bimbang jika ibunya didahulukan, pesakit lain akan mempersoalkan tindakan itu

Wanita itu dan ibunya, kemudian terpaksa pulang hampa selepas jururawat memberikan tarikh lain tarik janji temu rawatan warga emas itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast