Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Menteri Ekonomi Rafizi Ramli (kanan) menunjukkan dokumen Rancangan Malaysia Kedua Belas 2021-2025 (RMK12) di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI.

KUALA LUMPUR – Kegagalan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli untuk mengukuhkan kedudukan ekonomi negara didakwa memberi kesan kepada penerimaan rakyat terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya (UM) Dr. Mohammad Tawfik Yaakub berkata, dakwaan itu berdasarkan tinjauan Merdeka Center yang diterjemahkan terhadap Rafizi apabila rakyat tidak berpuas hati dengan tindakan kerajaan dalam pemulihan ekonomi negara.

“Bagi saya Rafizi dari awal telah duduk di kementerian yang salah. Malah keputusan kerajaan memecahkan kementerian kepada tiga yang berkaitan dengan hal ehwal ekonomi juga terburu-buru iaitu Kementerian Kewangan, Kementerian Ekonomi dan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

“Maka sudah semestinya tidak ada penyelarasan yang baik apabila dasar polisi berkaitan ekonomi dikemudi tiga kementerian berbeza tetapi teras yang sama,” katanya hari  ini.

Justeru itu, Dr. Mohammad Tawfik berkata, Anwar perlu melakukan rombakan Kabinet segera bagi memastikan mana-mana menteri yang dipertanggungjawabkan untuk memastikan ekonomi negara dijana.

“Saya berpandangan, rombakan Kabinet perlu disegerakan bagi menyusun semula Kabinet dan dilantik Menteri yang sesuai, wibawa dan memahami denyut nadi rakyat,” katanya lagi.

Dr. Mohammad Tawfik turut mendakwa Rafizi yang sebelum ini popular dengan formulanya menyelesaikan ekonomi negara telah meletakkan harapan kepada rakyat  boleh mencari jalan terbaik untuk memulihkan ekonomi negara.

Semalam, Merdeka Center mendedahkan kajian bahawa hanya 31 peratus pengundi berpandangan negara pada hala tuju betul, manakala 60 peratus berpandangan hala tuju negara ke arah salah.

Isu ekonomi menjadi kebimbangan utama pengundi, dengan 78 peratus menyatakan isu ekonomi menjadi perkara paling utama didepani rakyat hari ini, jelas badan pemikir itu.

Kaji selidik mencerminkan jangkaan pengundi kepada pihak pentadbiran bagi menjana semula pertumbuhan ekonomi, termasuk menangani kebimbangan berlarutan terhadap inflasi dan pertumbuhan gaji rendah.

Merdeka Center berkata, kaji selidik dilaksana dengan dana sendiri membabitkan 1,220 responden merangkumi 52 peratus Melayu, 29 peratus Cina, 7 peratus India, 6 peratus bumiputera Islam, dan 6 peratus bumiputera bukan Islam dari Sabah dan Sarawak, mencerminkan profil pengundi negara. – MalaysiaGazette