Mesin gerudi yang digunakan untuk membuat laluan bagi mengeluarkan lebih 40 pekerja yang terperangkap dalam terowong bengkok,

DEHRADUN – Kerja-kerja menyelamatkan 41 pekerja yang terperangkap dalam terowong di negeri Uttarakhand di India telah ditangguhkan lagi kerana masalah dengan mesin gerudi.

Mesin buatan Amerika Syarikat (AS) itu digunakan untuk menggerudi melalui serpihan untuk mewujudkan laluan keluar bagi pekerja terperangkap.

Mesin itu kini sedang dibaiki dan kerja penggerudian mungkin akan dimulakan semula pada hari Jumaat.

Para pekerja itu telah terperangkap di dalam terowong selama 12 hari selepas sebahagian daripadanya jatuh akibat tanah runtuh.

Sebahagian daripada terowong Silkyara sepanjang 4.5 kilometer di Himalaya India runtuh pada 12 November.

Kesemua pekerja yang terperangkap sudah dapat dihubungi dan mereka telah menerima oksigen, makanan, dan air.

Pasukan penyelamat sebelum ini mengumumkan mereka akan dapat mengeluarkan pra pekerja lelaki itu pada pagi Khamis.

Tetapi operasi telah ditangguhkan selepas masalah teknikal itu.

Bhaskar Khulbe, bekas penasihat pejabat perdana menteri yang terlibat secara aktif dalam operasi menyelamat ini memberitahu, platform yang menyokong mesin penggerudian telah bengkok, memerlukan pembaikan sepanjang malam sepanjang Khamis.

Pada hari Jumaat, kenyataan kerajaan mengatakan platform mesin itu telah diperkukuh menggunakan konkrit dan mesin itu akan dipasang semula tidak lama lagi.

Mesin itu digunakan untuk menebuk lubang ke dalam dinding serpihan sepanjang 60 meter (197 kaki) yang menghalang pekerja daripada keluar dari terowong.

Pihak berkuasa telah berusaha untuk menghantar pelbagai paip dengan lebar yang berbeza melalui serpihan untuk mencipta terowong mikro di mana pekerja boleh dibawa keluar.

Rancangannya adalah untuk menggerakkan pekerja keluar menggunakan pengusung melalui paip.

Tetapi operasi itu mencabar kerana adanya batu-batuan dan logam di dalam serpihan.

Operasi itu terhenti pada hari Rabu juga selepas pekerja ternampak batang logam tebal yang terpaksa dipotong menggunakan pemotong gas.

Pasukan penyelamat telah menggerudi kira-kira tiga perempat daripada serpihan setakat ini, tetapi tidak jelas berapa lama masa yang diperlukan untuk mereka menggali bahagian yang tinggal.

Bercakap kepada pemberita pada Khamis, Leftenan Jeneral Syed Ata Hasnain, anggota Pasukan Tindak Balas Bencana Kebangsaan, berkata adalah “sukar untuk meletakkan garis masa pada operasi yang begitu kompleks”.

“Sebahagian besarnya bergantung kepada apa yang ditemui oleh penyelamat semasa menggerudi melalui serpihan,” katanya. – Agensi