Adenan memeriksa kenderaan berat pada Ops Patuh Bersepadu di Juru, Pulau Pinang malam tadi.

BUKIT MERTAJAM – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengingatkan pemilik syarikat kenderaan berat dan perdagangan agar memantau pemandu mereka menerusi Sistem Pengesanan Global (GPS) bagi mengelak terbabit dalam kemalangan maut.

Pengarah JPJ Pulau Pinang, Datuk Adenan Md Isa berkata, kegagalan pemilik syarikat itu merisikokan perniagaan kerana mereka akan berdepan situasi penggantungan lesen bagi satu tempoh yang diputuskan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

Jelas beliau, pihaknya yang akan mengesyorkan tindakan penggantungan lesen selepas melakukan audit keselamatan sekiranya pemandu mana-mana syarikat terlibat dalam kemalangan maut yang berpunca daripada kecuaian mereka.

Adenan.

“JPJ akan melakukan audit keselamatan terhadap pemilik syarikat selepas kita dapat laporan kemalangan maut itu membabitkan kenderaan berat serta perdagangan.

“Kita akan memeriksa GPS pada kenderaan terbabit bagi melihat sama ada pemilik syarikat peka dengan kesalahan dilakukan pemandu mereka sebagai contoh kelajuan, penggunaan telefon bimbit, memandu di lorong kanan dan lain-lain.

“Sekiranya pemilik syarikat didapati tidak memenuhi piawaian ditetapkan, JPJ akan mengesyorkan APAD untuk mengambil tindakan menggantung lesen yang kebiasaannya antara enam bulan hingga setahun,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Ops Patuh Bersepadu di Plaza Tol Juru di sini, malam tadi.

Sebanyak 536 notis dikeluarkan terhadap pemandu kenderaan perdagangan yang dikesan melakukan pelbagai kesalahan di lebuhraya menerusi operasi tersebut.

Antara kesalahan yang dikesan adalah menggunakan lorong kanan berterusan, menggunakan telefon bimbit, tiada lesen memandu dan lesen kenderaan motor tamat tempoh.

Adenan menunjukkan kesan tayar berlopak pada sebuah kenderaan berat yang berisiko kepada pengguna jalan raya lain serta pemandu sendiri.

Operasi itu turut disertai Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Mengulas lanjut Adenan berkata, setakat ini sebanyak 18 kes kemalangan maut di lebuhraya yang berpunca daripada sikap pemandu kenderaan berat yang cuai atau gagal mematuhi peraturan jalan raya direkodkan sejak Januari hingga awal November lalu.

“Daripada jumlah itu lima kes berlaku di sepanjang lebuhraya di negeri ini manakala selebihnya di negeri lain namun syarikat yang mengendalikan kenderaan tersebut berpangkalan di Pulau Pinang.

“Sebab itu kita minta syarikat memantau pemandu menerusi GPS yang dipasang pada kenderaan kerana ia mampu mengurangkan kadar kemalangan maut disebabkan kecuaian mereka,” katanya. – MalaysiaGazette