Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris hadir di Mahkamah Sesyen Jenayah Siber bagi tuduhan menghina keputusan institusi kehakiman dan memfitnah badan kerajaan ketika di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 24 NOVEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas pertuduhan menghina keputusan institusi kehakiman dalam ceramah politik, 10 November lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal itu mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim N. Priscilla Hemamalini.

Mengikut pertuduhan, beliau didapati menyebut perkataan menghasut di Padang Astaka Chukai, Kemaman, Terengganu jam 9.30 malam dengan mengaitkan keputusan para hakim dikawal oleh kerajaan.

Kesalahan itu didakwa mengikut Perenggan 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 (Akta 15) yang boleh dihukum di bawah Subseksyen 4(1) akta sama yang boleh didenda tidak lebih RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pengarah Pendakwaan Kuala Lumpur, Datin Kalmizah Salleh mencadangkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin selain dilarang membuat sebarang hantaran mengenai kes itu sehingga selesai dibicara.

Bagaimanapun, peguam Hasshahari Johari Mawi mohon jumlah itu dikurangkan dengan alasan anak guamnya mempunyai tanggungan keluarga.

Hakim kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin dan bersetuju dengan syarat pendakwaan selain sebutan semula kes ditetapkan pada 8 Disember ini.

Pada 15 November lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat laporan polis terhadap Razali, 57, atas kenyataannya dalam sebuah majlis pelancaran jentera Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman.

Dalam ucapannya, beliau mempertikai keputusan Mahkamah Tinggi berhubung sabitan empat pertuduhan ke atas bekas Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dengan membandingkan keputusan seorang individu terpalit 47 kes yang dilepas tanpa dibebaskan (DNAA). – MalaysiaGazette