Calon Barisan Nasional (BN), Jen (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor (kanan) berucap pada Ceramah Perdana sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) P040 Kemaman Kampung Bukit Kuang, Chukai, Terengganu. Foto FAREEZ FADZIL, 24 NOVEMBER 2023.

KEMAMAN – Langkah bekas Panglima Angkatan Tentera Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor menerima tawaran menjadi calon UMNO dan mewakili Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman mengundang rasa hairan banyak pihak.

Bagi mereka Raja Mohamed Affandi membuat pilihan yang salah kerana merasakan UMNO dan BN sedang mengalami zaman kejatuhan selepas kalah pada Pilihan Raya Umum ke-14 dan ke-15.

Bagaimanapun bagi bekas PAT ke-19 itu, tidak ada sebarang kesilapan dalam keputusannya untuk mewakili UMNO dan BN sebagai calon dalam PRK Kemaman.

“Saya tanya balik kenapa tidak mengkaji kedudukan parti lain? Parti itu dulu pun ada merosot, jatuh menjunam dan sebagaimana kemudian pulih. Sama juga dengan UMNO.

“Di Malaysia kita lihat banyak parti lain secara sejarahnya ada kena tolak dan sebagainya. Tapi kita tengok keadaan yang menjadikan rhythm politik itu berubah-berubah. Landskap politik ini bukan satu yang simple dan lurus atau kosong, dia akan berubah.

“Kenapa tidak UMNO? UMNO dalam pelbagai segi adalah kuat. Begitu juga BN dia ada kekuatan sendiri. UMNO dan BN ada kekuatan. Macam mana nak guna kekuatan ini? Saya fikir begitu,” kata Raja Mohamed Affandi.

Anak jati Kemaman itu berkata, beliau telah memikirkan semasak-masaknya sebelum mengambil keputusan untuk menjadi calon dan menyertai politik selepas bersara daripada angkatan tentera.

Katanya, latarbelakang beliau dalam tentera sebelum ini boleh digunakan bagi menambahbaik keinginan beliau untuk menjadi seorang ahli politik yang berjasa kepada rakyat.

“Bukan semua yang dilakukan oleh ahli politik benda yang tidak baik. Kita sering dengar dalam politik ini matlamat menghalalkan cara yang dibawa oleh ahli falsafah Niccolo Machiavelli.

“Adakah itu sesuai dengan kita. Tak boleh mengambil semua benda untuk dicampurkan dalam politik. Orang politik pun berdisiplin. Semunya berkaitan cara menyesuaikan diri dengan senario dan keadaan yang berlaku,” kata beliau.

Beliau berkata demikian dalam program SkopMG yang boleh ditonton di semua platform media sosial MalaysiaGazette.

Raja Mohamed Affandi bagaimanapun mengakui beliau sebelum ini tidak pernah bercita-cita untuk menjadi ahli politik.

Bagaimanapun namanya yang dipilih sebagai calon oleh UMNO dan BN dilihat sebagai satu peluang kepada dirinya untuk berkhidmat kepada masyarakat.

Pun begitu bekas Panglima Angkatan Tentera itu mahu menegakkan prinsip integriti dalam bidang politik yang menjadi dunia baru dirinya.

“Saya adalah askar dan negarawan. Jadi dalam hal ini saya ingin menerapkan mengikut acuan bagaimana saya boleh melakukan. Bukan nak menjadikan (politik) askar tetapi apa kebaikan dalam askar tersebut kita dapat lakukan (dalam poltik).

“Secara asas, dalam askar ini benda yang sama, kita ada prinsip sendiri dalam hal ini jelas, saya mahu lakukan yang terbaik. Integriti adalah benda yang harus menjadi sandaran sebab kita mahu melakukan sesuatu yang baik. Intergiti adalah sebahagian daripadanya.

“Integriti bermaksud bukan sahaja dalam bentuk yang kita faham mengelakkan salah laku, tetapi juga integriti terhadap rakyat,” tegasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast