SEPANG – Kehadiran lebih 100 individu berpakaian serba hitam dalam dua bas kononnya penyokong pasukan Perak telah dikesan awal oleh polis kerana keadaan mereka yang mencurigakan.
Ketua Polis Selangor Komisioner Datuk Hussein Omar Khan berkata, dua bas yang dinaiki kumpulan ini diparkir di luar kawasan khas letak bas yang disediakan di stadium.
Mereka ini dikesan sebelum tertengkapnya 23 individu yang didapati telah membelasah penyokong pasukan Selangor di luar stadium sebelum perlawanan bola sepak Liga Super Malaysia bermula, semalam.
Menurutnya, lima lelaki penyokong pasukan tuan rumah telah dibelasah terukĀ ketika berada berhampiran kawasan parkir stadium lebih kurang jam 4.50 petang.
Salah seorang mangsa patah tangan.
Kumpulan itu turut memecahkan sebanyak empat buah kereta milik penyokong secara rambang tanpa sebab.
“Polis yangsudah mengesan bas tersebut bertindak pantas segera menahan kedua-dua bas itu lalu dibawa ke balai polis Petaling Jaya sebelum pemeriksaan dijalankan hingga membawa kepada tangkapan 23 individu,” katanya ketika ditemui pemberita di Majlis Penutupan Program Selangor POlice Community Ride 2023 IPD Sepang petang tadi.
Hussein berkata, siasatan polis mendapati serangan oleh kumpulan lelaki itu sudah dirancang.
“Semakan ke atas kesemua suspek berusia 16 hingga 36 tahun itu mendapati empat daripadanya mempunyai rekod jenayah lampau dan satu rekod dikehendaki dalam kes bunuh di daerah Kajang.
“Manakala seorang lagi mempunyai tujuh rekod kesalahan jenayah manakala satu lagi suspek mempunyai rekod jenayah dadah,” tambahnya.
Ujian saringan air kencing juga mendapati 12 daripadanya positif dadah methaphetamin dan amphethamine sementara kesemua suspek sedang direman sehingga 29 November ini untuk membantu siasatan lanjut polis.
Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 147 dan 427 Kanun Keseksaan serta Seksyen 15(1)(c) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya lagi.
Hussein menambah, polis telah memperhebatkan siasatan untuk mengesan dua lagi suspek warga tempatan yang disyaki terlibat dalam insiden ini dan masih bebas.
“Kita sedang menyiasat ketua kumpulan mencetuskan pergaduhan ini serta perancang utama yang sengaja menganggu-gugat ketenteraman dalam perlawanan tersebut.
“Pergerakan kumpulan yang datang dengan dua bas itu menunjukkan mereka ada niat hendak mengganggu ketenteraman maka kita akan mengenal pasti dari mana kesemua individu itu datang dan sebagainya,” ujar beliau.-MalaysiaGazette