Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke

SHAH ALAM – Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke hari ini memberikan ‘ultimatum’ akhir kepada ahli parti itu khasnya yang berjawatan untuk bekerjasama antara satu sama lain bagi memastikan setiap kepentingan rakyat dapat dilaksanakan.

Kata Anthony, ada kalangan ahli majlis sesuatu kawasan tidak mahu bekerjasama dengan ketua kampung dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sehingga menyebabkan kerja dan tanggungjawab yang sepatutnya dilaksanakan itu terabai serta memakan masa.

“Ini amaran terakhir, jika ada ADUN, Ahli Majlis dan Ketua Kampung tidak mahu kerjasama antara satu sama lain tolong letak jawatan. Jika tidak letak jawatan, tidak apa kita pecat. Gobind (Pengerusi DAP Selangor) tolong bertegas dalam isu ini.

“Sebelum ini saya belum jadi Setiausaha Agung, saya tidak boleh ‘cakap besar’. Perkara seperti ini tidak boleh tolak ansur lagi. Ini satu penyakit, jangan biarkan masalah seperti ini jadi faktor negatif bagi sesuatu pencapaian. Mesti ada semangat kerjasama. Jangan tikam menikam lagi.

“Kita dalam parti hendak bawa budaya yang baik supaya rakyat sokong kita. Setiap kawasan, sudah menang ada berpuluh ahli majlis berpuluh ketua kampung dan juga Adun. Adun juga ada tanggungjawab memastikan adanya pasukan baik,” katanya pada Konvensyen DAP Selangor 2023 hari ini.

Kata Anthony lagi, andainya beliau mendengar lagi permasalahan yang berlaku antara wakil-wakil rakyat ini, beliau akan mengambil tindakan tegas kelak.

“Saya tidak mahu dengar lagi ada yang tidak suka sesama sendiri. Apabila peruntukan diberikan, ianya perlu diagih dengan baik mengikut keperluan. Peruntukan ini bukan wang peribadi tetapi kerajaan kepada rakyat. Jangan tidak mahu beri peruntukan kerana tidak suka sesama sendiri.

“Ini adalah peringatan yang akhir daripada saya. Perkara ‘simple’ dan boleh ikut,” tegasnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast