Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Inventori minyak sawit yang tinggi di Malaysia dan Indonesia akan terus memberi tekanan harga kepada niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives minggu depan.

Peniaga Kanan Minyak Sawit, Interband Group of Companies, Jim Teh berkata, permintaan terhadap komoditi itu sangat rendah berikutan stok MSM yang banyak di negara pengeluar minyak sawit.

“Stok (minyak sawit) Malaysia berjumlah kira-kira 2.4 juta tan (sehingga akhir Oktober) manakala Indonesia pula merekodkan kira-kira lima juta tan, dan lebihan stok MSM ini memberi tekanan kepada harga,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, paras sokongan bagi MSM adalah pada RM3,500 satu tan manakala rintangan pada RM3,600 satu tan.

Mengenai jangkaan peningkatan import minyak sawit oleh China, Jim berkata kesan daripada laporan itu adalah neutral terutamanya, susulan lebihan inventori.

Bagi dagangan yang baru berakhir minggu ini, pasaran MSM tempatan mencatatkan prestasi bercampur-campur seiring dengan pasaran komoditi serantau, harga minyak kacang soya di Lembaga Dagangan Chicago serta turun naik harga minyak mentah.

Berasaskan mingguan, Disember 2023 turun RM27 kepada RM3,782 satu tan manakala Januari 2024 dan Februari 2024 masing-masing susut RM41 kepada RM3,850 dan RM3,909 satu tan.

Mac 2024 kurang RM39 kepada RM3,909 satu tan, April 2024 kurang RM40 kepada RM3,905 satu tan dan Mei 2024 menguncup RM44 kepada RM3,883 satu tan.

Jumlah dagangan mingguan berkurangan kepada 199,846 lot daripada 275,274 lot minggu sebelumnya manakala kepentingan terbuka meningkat kepada 211,241 daripada 210,160 kontrak.

Harga MSM fizikal bagi Disember Selatan susut kepada RM3,800 satu tan pada Jumaat daripada RM3,820 satu tan seminggu sebelumnya. – BERNAMA