Nor Amiza merayu orang ramai berhenti menyebarkan video anaknya sedang bermain hujan seolah-olah tanpa pengawasan sehingga menyebabkannya hilang dipercayai lemas di sebatang longkang ketika dia sedang berniaga di Taman Goodwood, Bukit Palah, Melaka petang semalam.

MELAKA – “Apapun yang terjadi, saya terima. Kalau anak saya lemas, timbullah nak, ibu cuma nak Danish ada kubur.

“Cuma saya minta masyarakat janganlah sebarkan lagi video anak main hujan sebelum kejadian seolah-olah saya tidak risaukan keselamatan anak,”

Itu luahan sebak Nor Amiza Che Kar, 38, mengenai nasib anak ketiganya Muhammad Danish Mohd Faizal, 2, yang dikhuatiri lemas di sebatang longkang ketika dia sedang berniaga di Taman Goodwood, Bukit Palah, Melaka petang semalam.

Menurutnya, penyebaran video anaknya itu bermain hujan bersama anak kedua dan sulung berusia empat dan lapan tahun hanya akan menambah kesedihan mereka sekeluarga.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh (dua kiri) turun padang bertanya khabar mengenai kejadian kepada Nor Amiza dan suami
selepas meninjau pusat kawalan operasi bencana (PKOB) pukul 1 pagi tadi.

“Sebenarnya ketika itu suami, Mohd Faizal Maarop, 38, ada dalam kereta tidak jauh dari situ dengan keadaan but kereta terbuka untuk memantau anak-anak sambil menjaga anak bongsu berusia setahun dalam kereta.

“Tempat dia bermain itu pun jauh dari longkang tapi bila video itu tersebar, ia menyebabkan salah faham sehingga ramai pihak menyalahkan kami.

“Tolonglah hentikan buat tuduhan kejadian yang tidak disangka-sangka ini sebaliknya doakan saya terus kuat menghadapi ujian Allah ini,” katanya sambil menitiskan air mata.

Nor Amiza ketika ditemui di tempat kejadian awal pagi tadi berkata, dia dan suami reda dengan apa sahaja kemungkinan.

“Kalau ditakdirkan anak saya tenggelam, saya terima ketentuan Allah ini dan saya terima kasih kepada semua pihak yang sentiasa mendoakan dan membantu mencari Danish,” katanya.

Nor Amiza setia menunggu berita mengenai kehilangan anak ketiganya Muhammad Danish Mohd Faizal, 2, yang dikhuatiri lemas ketika hujan lebat di longkang di Taman Goodwood, Bukit Palah, Melaka sejak petang semalam.

Semalam, media melaporkan dalam kejadian kira-kira 3.25 petang itu, kanak-kanak lelaki itu tiba-tiba hilang ketika keluarganya sedang berniaga di kawasan berkenaan.

Waktu kejadian, hujan lebat dan air hujan hampir memenuhi longkang sedalam kira-kira 1.3 meter di belakang gerai Nor Amiza yang menjual nasi kerabu di situ sejak tiga tahun lalu.

Sebelum itu, Danish dilihat ada bermain di kawasan berhampiran dengan kakak dan abangnya sebelum kanak-kanak itu tiba-tiba tidak kelihatan dan hanya menjumpai selipar dipakainya di kawasan rumput tepi longkang.

Malam tadi, tular video tiga beradik itu termasuk Danish sedang bermain hujan di kawasannya dilaporkan hilang. – MalaysiaGazette

 

Kanak- kanak dua tahun dikhuatiri lemas dalam longkang

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast