Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke

SHAH ALAM – Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke ‘membetulkan’ persepsi dan kebimbangan segelintir rakyat yang berpandangan perdana menteri sentiasa ke luar negara serta tidak fokus isu-isu domestik negara.

Kata Anthony, hakikatnya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sering ke luar negara bagi lawatan bukan hanya soal antarabangsa semata-mata sebaliknya sangat berkait rapat dengan domestik terutamanya dengan mengukuhkan hubungan Malaysia dengan dunia dagang.

Jelas Menteri Pengangkutan itu, pasaran Malaysia masih kecil dan perlu diperkukuhkan, itu hanya mampu menjadi realiti andainya kita berkawan dengan dunia luar.

“Kerana itu juga kita berkawan dengan dunia luar, bantu syarikat-syarikat, kilang-kilang dalam negara kita eksport sehingga ke luar negara. Apa yang sedang dilaksanakan oleh perdana menteri bersama Menteri Kabinet Perpaduan sangat berjaya meletakkan nama kita ke peta dunia.

“Dunia luar sebenarnya memberikan kita penghormatan yang sangat tinggi, Malaysia bukanlah negara besar namun mempunyai pengiktirafan tertinggi daripada kuasa-kuasa besar. Suara kita jelas kedengaran di pentas dunia.

“Perdana menteri kita telah berjaya letakkan nama kita di peringkat lebih tinggi, kuasa-kuasa besar hormat sekali gus mengeratkan lagi kerjasama perdagangan. Hasil dasar antarabangsa oleh Perdana Menteri dunia juga memilih untuk bekerjasama dengan kita,” katanya pada Konvensyen Tahunan Negeri DAP Selangor 2023 di sini hari ini.

Kata Anthony lagi, antara contoh terbaharu hubungan erat Malaysia dengan kuasa besar ialah negara China.

“Negara Republik China telah memberikan kita pengecualian visa untuk rakyat negara ini berkunjung ke sana. Hanya enam negara sahaja diberikan pengecualian ini, semuanya negara barat. Di Asia Tenggara, hanya Malaysia sahaja diberikan penghormatan ini.

“Malaysia dapat, dasar luar yang diiktiraf China, ini sangat bernilai buat kita. Ramai rakyat kita yang berniaga di sana, pelancong dalam kalangan kita ke China juga ramai. Kini kita tidak perlu bayar visa yang beratus ringgit,” katanya di ikuti tepukan gemuruh. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast