KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan penceramah bebas, Ahmad Dusuki Abd Rani untuk memfailkan penyataan jawapan kepada pembelaan balas Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil dalam tempoh dua minggu.
Mahkamah menetapkan jawapan itu perlu dibalas oleh Ahmad Dusuki selewat-lewatnya 8 Disember ini manakala 18 Disember bagi pengurusan kes.
Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai menyaman penceramah itu atas dakwaan memfitnah bahawa beliau memberi ceramah politik di sebuah masjid di Rawang, Selangor.
Berdasarkan pernyataan tuntutan, Fahmi mendakwa Ahmad Dusuki selaku defendan menyiarkan kata-kata fitnah mendakwanya menyalahgunakan tempat beribadah iaitu masjid bagi tujuan kempen pilihan raya dan bertindak bertentangan dengan titah serta perintah Sultan Selangor.
Dakwa Fahmi, kenyataan itu tidak berasas malah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) mengesahkan beliau sama sekali tidak memberikan ucapan berbaur politik seperti difitnah defendan.
Kenyataan Ahmad Dusuki juga didakwa bertujuan memburukkan nama baiknya demi mendapatkan publisiti murahan atau mewujudkan sensasi dalam arena politik negara, selain menjejaskan reputasinya sebagai Ahli Parlimen dan menteri Kabinet. -MalaysiaGazette