Menteri Besar Terengganu yang juga calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar pada program MGSkop sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) P040 Kemaman di Chukai, Terengganu. Foto FAREEZ FADZIL, 26 NOVEMBER 2023.

KEMAMAN – Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berazam untuk menghentikan kitaran jahat dan politik balas dendam antara negeri dan persekutuan serta antara penyokong parti.

Menurut Ahmad Samsuri, sikap membalas dendam antara parti dan ahli politik yang berbeza akhirnya akan menyusahkan rakyat.

Calon Pas bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman itu berkata, selepas tegurannya terhadap Menteri Ekonomi Rafizi Ramli mengenai peruntukan kepada negeri pada Ogos lalu, masih ada arahan baharu yang tidak membantu hubungan baik antara negeri dan pusat.

“Saya dengan beliau (Rafizi) tidak ada perbincangan lanjut, tetapi dengan pihak kementerian, saya rasa tidak ada apa-apa isu yang timbul. Cuma mungkin ada perkara-perkara, arahan terbaharu Kerajaan Pusat yang saya lihat tidak membantu hubungan yang lebih baik dengan kerajaan negeri.

“Sebab itu saya kata, ini adalah satu lagi kitaran jahat. Saya mempunyai visi satu masa nanti sekiranya kami menjadi Kerajaan Pusat, kita harus menghormati pilihan rakyat, dan mana-mana yang berkaitan kepada negeri berkenaan kita kena beri. Tak kiralah negeri pembangkang atau kerajaan,” tegasnya.

Ahmad Samsuri berkata demikian dalam program SkopMG yang disiarkan di semua platform media sosial Malaysia Gazette.

Pada Ogos lalu, Ahmad Samsuri membidas kenyataan Rafizi yang menyatakan Terengganu termasuk dalam negeri yang menerima peruntukan besar namun tidak mempunyai perancangan ekonomi yang baik.

Naib Presiden Pas itu berkata, kitaran jahat juga melingkari kempen pilihan raya apabila ada pihak berkata, rakyat perlu memilih wakil rakyat dari parti yang sama dengan Kerajaan Pusat.

“Ini adalah satu lagi kitaran jahat yang sepatutnya tidak wujud dalam sebuah negara yang mengamalkan demokrasi. Saya percaya, pilihan yang dibuat oleh rakyat tidak harus dihukum.

“Saya mempunyai wawasan satu hari nanti negara kita perlu mempunyai demokrasi matang, rakyat buat pilihan itu adalah kehendak mereka tetapi kerajaan yang diamanahkan menjadi Kerajaan Pusat haruslah menghormati hak-hak yang dipersetujui dalam Perlembahaan.

“Jadual 9 umpamanya dan bidang kuasa negeri, bidang kuasa Persekutuan dan bidang kuasa bersama. Mana boleh ada benda kita kongsi tetapi kita tidak mahu bincang. Bincang dan saling cari jalan bagaimana hendak membantu rakyat sesuai dengan semangat perlembagaan itu,” tegas beliau.

Isu lain termasuk peruntukan yang berbeza kepada ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang serta isu pembayaran royalti petroleum yang mempunyai sekatan tertentu.

Ahmad Samsuri menegaskan, Malaysia tidak akan maju kehadapan sekiranya kitaran ganas antara negeri dan Persekutuan terus berlaku.-MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast