GERIK – Tiga sekeluarga melalui detik mencemaskan apabila kereta Perodua Axia yang dinaiki mereka dipijak sekumpulan gajah dalam kejadian di Kilometer 55, Jalan Raya Timur Barat Gerik (JRTB) – Jeli sebelum Hentian Rehat Titiwangsa, di sini, semalam.
Kejadian berlaku jam 7.35 petang ketika keluarga berkenaan dalam perjalanan dari arah Pulau Pinang menghala ke Jertih, Terengganu.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Zulkifli Mahmood berkata, kereta itu dipandu lelaki berusia 48 tahun bersama dua penumpang berusia 47 dan 23 tahun.
Jelas beliau, ketika melalui satu selekoh, pemandu ternampak enam ekor gajah berada di lorong menghala ke Jeli, Kelantan sebelum terlanggar seekor anak gajah.
“Susulan itu, kawanan gajah terbabit menghampiri mereka mereka sebelum memijak hingga mengakibatkan mengalami kerosakan teruk di bahagian sisi kiri, bonet dan but.
“Bagaimanapun, serangan itu terhenti apabila anak gajah tersebut bangun dan beredar dari lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Tambah beliau, pemandu dan dua penumpang tidak mengalami sebarang kecederaan dan cuaca hujan renyai-renyai serta berkabus ketika kejadian.
“Sehubungan itu, kita nasihatkan pengguna jalan raya JRTB agar lebih berhati-hati memandu ketika melalui laluan itu kerana terdapat haiwan liar melintas,” katanya.
Media sebelum ini pernah melaporkan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara pernah mengeluarkan kenyataan menasihatkan pengguna JRTB yang menghubungkan Gerik dan Jeli berhati-hati dengan kehadiran gajah yang sering berkeliaran di kawasan itu. – MalaysiaGazette