Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Tinjauan Gaji Tahunan 2024 Robert Walters mendedahkan sebanyak 63% atau lebih tiga daripada lima pekerja menjangkakan kenaikan gaji tahun depan.

Menariknya, kebanyakan responden (71%) menjangkakan kenaikan sebanyak 10%, meskipun mengetahui industri masing-masing terkesan dengan iklim ekonomi terkini.

Sebagai tambahan, lebih separuh daripada responden (54%) menyatakan persediaan untuk berunding bagi mendapatkan gaji yang lebih tinggi.

Dapatan kajian juga menunjukkan pekerja kini mengutamakan wang berbanding tempoh sebelum ini, dengan 69% responden mengatakan bonus menjadi perkara utama dalam pemikiran mereka .

Ditanya mengenai perincian bonus, mereka mengharapkan sekurang-kurangnya 6-10% daripada gaji pokok.

Selari dengan ini, 9 daripada 10 pekerja (90%) menyatakan skim bonus ialah imbuhan paling penting yang mempengaruhi keputusan mereka untuk menerima jawatan baharu.

Tinjauan itu turut mendedahkan jangkaan pekerja kenaikan gaji antara 6-10%.

Bagaimanapun, tinjauan turut mengesan ketidakselarian antara jangkaan pekerja dan hasrat majikan kerana 53% majikan mahu memberikan kenaikan gaji yang sederhana antara 1-5%, memenuhi jangkaan 22% atau lebih satu daripada lima pekerja.

Majikan bagaimanapun sedar mengenai manfaat berkaitan kewangan yang semakin diutamakan pekerja.

Lebih 4 daripada 5 majikan (83%) telah memberikan bonus dan skim insurans kesihatan peribadi untuk pekerja-pekerja sedia ada.

Sentimen ini turut dikongsikan dengan golongan pekerja sendiri, memandangkan mereka juga telah menerima faedah kewangan tambahan dalam bentuk bonus dan perlindungan kesihatan peribadi dalam 18 bulan lepas.

“Kenaikan gaji yang diramalkan pada 2024 akan jangka kekal stabil, didorong oleh persaingan sengit pemain-pemain baharu dalam pasaran yang bersaing untuk kumpulan bakat yang sama. Syarikat berkemungkuninan akan menawarkan pakej imbalan yang kompetitif untuk menarik calon-calon yang diingini, yang memerlukan tumpuan menangani jurang antara pemintaan dan penawaran,” kata Ai Rene Tan, Ketua Robert Walters Malaysia.

Semakan gaji tahunan umum merentas organisasi diunjurkan pada 2024, di mana pekerja-pekerja sedia ada boleh menjangkakan kenaikan gaji antara 3% hingga 7%.

Kenaikan ini mencerminkan kadar inflasi kos dan gaji negara. 64% majikan cenderung untuk menawarkan kenaikan gaji dalam tempoh 12 bulan akan datang.

Tinjauan itu menunjukkan 58% majikan berkata, mereka komited menyediakan kenaikan gaji melebihi kadar inflasi.

Sebagai tambahan, mereka yang bertukar kerja boleh menjangkakan kenaikan gaji antara 15% ke 20% dengan jawatan-jawatan yang mendapat permintaan tinggi boleh menyaksikan peningkatan sehingga 30%.

Tan berkata, sementara insentif-insentif kewangan kekal penting, calon-calon juga mengutamakan budaya kerja sebagai pertimbangan kedua. Amalan bekerja secara hibrid sangat digemari oleh responden kaji selidik, iaitu pada kadar 64%.

“Permintaan tinggi berterusan untuk bakat-bakat ESG terutama dalam bidang perkhidmatan kewangan, tenaga, teknologi, barangan pengguna dan penjagaan kesihatan, didorong oleh peralihan global ke arah kemampanan dan penekanan terhadap amalan perniagaan yang bertanggungjawab.

“Pelancaran Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara oleh Kementerian Ekonomi dijangka melonjakkan prospek pelaburan, dan ini membuka peluang kepada peluang pekerjaan yang lebih tinggi terutama dalam sektor Tenaga yang Boleh Diperbaharui,” kata Tan.

Menurutnya, populariti Kenderaan Elektrik Malaysia yang semakin bertambah di rantau ini telah mempercepatkan pembangunan teknologi baharu, sekali gus memacu permintaan untuk bakat teknikal dan kejuruteraan.

Dengan ketersediaan ruang untuk pembangunan pusat-pusat data, aspirasi negara untuk menjadi hab serantau yang berkembang telah membawa kepada permintaan signifikan untuk bakat industri.

Peluang pekerjaan dijangka tersedia semasa fasa pembinaan dan pengoperasian pusat-pusat data ini.

Kadar penembusan digitalisasi yang tinggi menyumbangkan kepada peningkatan permintaan untuk digital dan automasi merentasi pelbagai industri termasuklah perkhidmatan kewangan, penghasilan, peruncitan dan e-dagang, perkhidmatan IT, dan penjagaan kesihatan.

Lebih banyak sumber dilabur ke dalam transformasi digital untuk menambah baik keberkesanan operasi organisasi, pengalaman pelanggan dan daya saing.

Terdapat permintaan tinggi untuk para profesional yang berkemahiran dalam transformasi digital, teknologi kewangan, automasi industri, e-dagang, pembangunan perisian, pengkomputeran awam, keselamatan siber, dan informatika kesihatan.

Robert Walters Malaysia berkata, tinjauan ini melibatkan lebih 400 calon dan organisasi di Malaysia pada September 2023.

Tinjauan ini untuk mendapat maklumat dan kebimbangan daripada majikan dan pekerja mengenai amalan-amalan kerja sedia ada, menyediakan gambaran keseluruhan mengenai pasaran kerja dan kemahiran yang mempunyai permintaan tinggi, dan jangkaan gaji untuk tahun depan. – MalaysiaGazette