Kapal tangki yang berdaftar dari Panama ditahan selepas disyaki berlabuh secara haram di perairan Johor Timur semalam.

KOTA TINGGI – Sebuah kapal tangki yang berdaftar dari Panama ditahan Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) kerana disyaki berlabuh secara haram di perairan Johor Timur, semalam.

Pemangku Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili, Komander Maritim Mohd Najib Sam berkata, kapal itu ditahan bot ronda Maritim Malaysia pada pukul 11 pagi di kedudukan 15.8 batu nautika timur laut Tanjung Penawar.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati nakhoda gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh.

“Kes akan disiasat di bawah Seksyen 491B(1 ) (L) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana bersauh tanpa kebenaran Ketua Pengarah Laut Malaysia yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kapal berkenaan dikendalikan oleh 17 orang kru termasuk nakhoda terdiri daripada warga Pakistan, India dan Bangladesh yang berumur antara 21 hingga 58 tahun.

Kesemua mereka mempunyai dokumen perjalanan diri yang sah. -MalaysiaGazette