GOMBAK – Polis menangkap lapan orang individu bagi membantu siasatan kes seorang wanita warga emas yang ditemui mati ditikam di dalam keretanya di Taman Ehsan Kepong, di sini pada 23 November lalu.
Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata, tangkapan itu dibuat selepas satu serbuan di kawasan Gombak Ahad lalu.
Mereka yang ditahan berusia antara 21 hingga 35 tahun.
“Siasatan lanjut polis kemudian membawa kepada penemuan pisau di kawasan Desa Aman Puri semalam yang disyaki digunakan oleh suspek untuk menikam mangsa wanita warga emas itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Tambah beliau, kesemua suspek lelaki warga tempatan itu masih berada dalam tahanan reman.
Kes berkenaan sedang disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman mati.
“Motif utama pembunuhan wanita tua itu masih dalam siasatan polis,” ujarnya lagi.
Dalam kejadian tersebut, polis menerima panggilan orang awam yang terkejut menemui mangsa keadaan berdarah di dalam keretanya.
Katanya, bertindak atas maklumat awam telah bergegas ke lokasi kejadian sebelum pasukan penyiasat telah menemui mangsa dalam keadaan tidak bernyawa.- MalaysiaGazette