KUALA LUMPUR – Kumpulan heavy metal legenda, Metallica buat julung-julung kalinya akan membuat persembahan di Riyadh, Arab Saudi pada 14 Disember ini.
Mereka akan beraksi pada malam pertama pesta muzik Soundstorm by MDLBeast 2023 yang berlangsung selama tiga hari.
“Tahun 2023 belum lagi berakhir buat kami, peluang yang menakjubkan akan tiba dan kami akan membuat persembahan di sebuah pesta besar yang kami belum pernah beraksi dan di negara yang jarang dapat kami kunjungi.
“Kami teruja untuk mengumumkan bahawa pada Khamis, 14 Disember ini kami akan menjadi kumpulan hard rock pertama yang akan membuat persembahan di Pesta Soundstorm di Riyadh, Arab Saudi,” kata kumpulan itu dalam hantaran Facebook, semalam.
Metallica yang ditubuhkan pada 1981 kini dianggotai James Hetfield (gitar dan vokal), Kirk Hammet (gitar utama), Lars Ulrich (dram) dan Robert Trujillo (bass).
Antara artis-artis antarabangsa lain yang menyertai pesta muzik tersebut ialah Afrojack, Armin van Buuren, Calvin Harris, Chris Brown, David Guetta, J Balvin, Martin Garrix, Pharrell Williams, Swedish House Mafia, Wizkid, Her, Tiesto, Black Eyed Peas dan Anne-Marie. – MalaysiaGazette