SHAH ALAM – Seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara satu tahun selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, kerana mencuri kenderaan jenis Honda City Hatchback di sebuah pusat cuci kereta di sini, Isnin lalu.
Tertuduh, Mohd Syarul Yahya, 27, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Sasha Diana Sabtu.
Mengikut pertuduhan, tertuduh pada 20 November jam 8 malam di BWC Motor Spa Ken Rimba, No. 33-1, Jalan Lengkuas B 16/B, Seksyen 16, Shah Alam, Selangor dengan niat telah mencuri sebuah motokar jenis Honda City Hatchback bernilai RM85,000.
Tertuduh telah melakukan satu kesalahan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 379A, Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak kurang satu tahun dan tidak lebih tujuh tahun dan boleh juga dikenakan denda.
Terdahulu peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Marcus Low yang mewakili tertuduh memohon anak guamnya dijatuhkan hukuman penjara yang minima memandangkan menanggung seorang bapa berusia 62 tahun.
“Tertuduh juga kesal dan insaf akan kesalahan yang telah dilakukan.
“Pengakuan bersalah tertuduh juga telah menjimatkan masa dan kos mahkamah,” kata peguam itu.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Annur Athirah Amran mencadangkan agar tertuduh dikenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan orang awam secara umum.
Majistret kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara minimum setahun.
Sebelum ini, seorang pelanggan sebuah bengkel dan pusat cuci kereta berputih mata selepas kenderaan jenis Honda City miliknya dilarikan oleh seorang lelaki yang tidak dikenali pada Isnin.
Kejadian tersebut turut dikongsikan pemilik bengkel berkenaan menerusi Facebooknya dan video tersebut ditularkan semula di Telegram Malaysia Info/Kemalangan pada Selasa.
Menurut pemilik premis, suspek pada mulanya kelihatan mundar-mandir di kawasan tersebut dalam keadaan yang mencurigakan.
Suspek yang berbaju t-shirt hijau hitam melarikan kereta terbabit selepas memperdaya pelanggan untuk meminta kunci kenderaan. – MalaysiaGazette