Menteri Pelaburan, Perdagangan, dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz melihat Proton S70 yang baru dilancarkan yang dijual dengan harga atas jalan tanpa insurans bermula RM73,800 sehingga RM94,800 ketika di Axiata Arena, Bukit Jalil. Foto MOHD ADZLAN, 28 NOVEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Semua cawangan Perusahaan Otomobil Nasional (Proton) di seluruh negara telah mula menerima tempahan Proton S70 sejak 1 November lalu dengan bayaran sebanyak RM500.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dr. Li Chunrong berkata, pra-tinjauan pelanggan telah diadakan di beberapa ibu negeri utama di Malaysia bermula dari 11 November untuk membolehkan orang ramai melihat model itu secara lebih dekat dan peribadi.

“Proton S70 mencatatkan bab baru bagi Proton kerana kembali ke pasaran sedan  dengan model evolusi.

“Dilengkapi teknologi keselamatan pintar, pautan, dan enjin turbo berkapasiti 1.5L dengan transmisi kopeling dua, kami mempunyai harapan tinggi bahawa ia akan menjadi popular di kalangan peminat Proton,” katanya pada sidang media selepas pelancaran Proton S70, Axiata Arena, Bukit Jalil, di sini, hari ini.

Dalam pada itu Li berkata, sejak tahun 2019, syarikat itu telah melabur lebih daripada RM1.8 bilion bagi menaik taraf kemudahan dan kelengkapan daripada rangkaian pengeluaran Proton di Tanjung Malim, Perak dengan membina barisan jentera baharu, sebuah kilang pengepaman baru serta barisan pemasangan yang baharu.

“Ini memberi harapan yang cerah untuk masa depan syarikat kerana kami berhasrat untuk memperluaskan rangkaian produk yang merangkumi lebih banyak kenderaan tenaga baharu termasuk kenderaan elektrik juga,” ujarnya.

Hari ini Proton Holdings Bhd (PROTON) melancarkan Proton S70 yang ditawarkan pada harga bermula daripada RM73,800.

Sedan segmen-C berasaskan Geely Emgrand itu diperkenalkan dengan empat pilihan varian iaitu 1.5T Executive yang ditawarkan pada harga atas jalan tanpa insurans bermula RM73,800; 1.5T Premium (daripada RM79,800); 1.5T Flagship (daripada RM89,800); dan 1.5T Flagship X (daripada RM94,800).

Proton S70 pasaran Malaysia menerima spesifikasi tertinggi berbanding pasaran Asia Tenggara lain yang lebih awal membawa masuk Geely Emgrand.

Model itu dilengkapi dengan enjin 1,477cc turbo DOHC tiga silinder yang menghasilkan kuasa 150PS pada 5,500rpm dan tork 226Nm pada 1,750-4,000rpm. – MalaysiaGazette