Rosmah Mansor

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini menolak permohonan syarikat pemborong barang kemas dari Lubnan, Global Royalty Trading SAL, bagi penghakiman ringkas untuk mendapatkan penghakiman terus terhadap Datin Seri Rosmah Mansor.

Sebaliknya mahkamah membuat keputusan kes itu perlu melalui satu proses perbicaraan penuh bagi merungkai beberapa isu dan penghakiman ringkas tidak sesuai bagi kes tersebut.

Permohonan tersebut berhubung saman syarikat terbabit terhadap Rosmah yang didakwa gagal mengembalikan 43 barang kemas bernilai RM67.5 juta antaranya rantai berlian, anting-anting, cincin, gelang dan tiara.

Mahkamah turut memerintahkan Global Royalty untuk membayar RM75,000 sebagai kos kepada Rosmah.

Penghakiman ringkas atau terus melibatkan prosedur tuntutan saman diputuskan oleh mahkamah tanpa melalui perbicaraan apabila isu berhubung fakta dalam kes terlibat atau undang-undang, tidak dipertikaikan.

Pada 29 Mac lepas, Global Royalty sekali lagi menyaman Rosmah dengan menuntut perintah mandatori supaya barang kemas berkenaan dikembalikan atau dipulangkan dalam keadaan munasabah dan baik dalam tempoh 14 hari daripada tarikh penghakiman.

Global Royalty mendakwa Rosmah menandatangani nota mengakui penerimaan barang kemas itu mengikut terma dan syarat seperti dinyatakan pada 22 Mei 2018, malah syarikat itu membuat beberapa panggilan telefon kepada isteri bekas Perdana Menteri itu memintanya untuk mengembalikan barang kemas terlibat.

Pada 10 Ogos pula, Rosmah memfailkan permohonan supaya Global Royalty diperintah memberikan jaminan kos sebanyak AS$1 juta atau RM4.59 juta kepada mahkamah dan memohon agar saman itu dibatalkan jika syarikat terbabit gagal berbuat demikian.

Kos jaminan itu untuk Rosmah andai beliau berjaya di dalam tindakan saman dan memperolehi kos terhadap syarikat terbabit kemungkinan akan berdepan kesukaran menguatkuasakan perintah kos kerana Global Royalty sebuah syarikat asing.

Pada tahun 2019, Global Royalty memfailkan saman pertama terhadap Rosmah untuk menuntut barang kemas bernilai AS$14.79 juta atau hampir RM60 juta tetapi menarik balik saman berkenaan. – MalaysiaGazette