Gambar hiasan

Oleh: Dr. Siti Idayu Hasan, Prof. Madya Dr. Nur Amani Ahmad Tajuddin

HARI Kanak-Kanak Sedunia disambut pada 20 November saban tahun. Kali ini, ‘Investing in our future means investing in our children’ telah dipilih sebagai tema rasmi oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Maka, bertepatanlah masanya untuk kita menyantuni peningkatan trend penggunaan rokok dan vape di kalangan remaja sebagai sebuah ancaman yang perlu ditangani dengan tegas.

Gerakan Generasi Penamat (GEG) yang menggalas tanggungjawab mendepani isu ini seharusnya diterima sebagai sebuah visi yang ikhlas dalam menghapuskan tabiat merokok dan vape untuk generasi akan datang. Menggunakan segala sumber yang ada, usaha bersepadu dan komprehensif perlu dilakukan, kerana ancaman bukan sahaja hadir dari kalangan gergasi industri tembakau, malah dari industri vape yang semakin meningkat naik. Kedua-dua industri ini secara halus telah pun mensasarkan generasi anak-anak kita sebagai mangsa.

Data terbaru dari Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2022: Kajian Kesihatan Remaja memberikan bukti yang jelas ancaman vape terhadap kesihatan awam. Melalui kajian tersebut didapati ramai remaja Malaysia kini telah pun bereksperimentasi dengan rokok dan vape. Suatu masa dahulu, kita mungkin hanya bimbang mengenai penggunaan rokok konvensional dalam kalangan mereka, namun nampaknya musuh yang satu ini kini telah berevolusi. Rokok elektronik (vape) kini dilihat sebagai sebuah elemen gaya yang perlu diikuti remaja. Ramai di kalangan mereka diperdayakan dengan imej yang kononnya vape adalah “lebih selamat” dan “lebih bergaya” berbanding rokok.

Dan permainan persepsi ini sememangnya telah menunjukkan kejayaannya memerangkap anak-anak kita. Data dari kajian NHMS 2022 menunjukkan sebanyak 14.9% remaja telah mencuba atau menggunakan vape secara kerap, suatu peningkatan mendadak dari 9.8% pada tahun 2017. Lebih memeranjatkan ialah kadar kekerapan penggunaan vape apabila dibandingkan dengan rokok.

Dalam kalangan remaja lelaki, penggunaan vape adalah dua kali ganda berbanding rokok; manakala di kalangan remaja perempuan, jumlah ini meningkat sebanyak empat kali ganda! Walaupun jumlah keseluruhan perokok remaja didapati menurun kepada 6.2% berbanding 13.8% pada tahun 2017, namun ini tidak seharusnya dilihat sebagai sebuah kejayaan. Perjalanan bagi memastikan generasi akan datang bebas dari bahaya rokok masih berliku dan penuh dengan cabaran.

Jika kita benar-benar ingin melihat mereka bebas dalam erti kata yang sebenar, maka visi dan strategi yang dibawa oleh pendokong GEG haruslah diangkat secara kolektif oleh semua pihak. Ibu bapa, keluarga, pendidik, masyarakat, dan penggubal undang-undang mestilah berganding bahu dalam menghapuskan kesemua produk tembakau dan vape, demi sebuah pelaburan untuk anak-anak kita.

Ramai di kalangan golongan dewasa negara ini masih tidak tahu dan melihat vape sebagai alternatif rokok yang lebih “sihat” atau “selamat”. Persepsi yang salah ini, jika diperturunkan kepada anak-anak kecil dan remaja, adalah sesuatu yang sangat membimbangkan. Dan di sinilah peranan ibu bapa dan guru-guru sekolah sangat diperlukan bagi membanteras tabiat ini dari awal kerana mereka adalah golongan yang mudah dipengaruhi oleh rakan sebaya dan kelompok yang lebih dewasa di sekeliling mereka. Perasaan ingin tahu dan ingin mencuba di kalangan remaja ini boleh mengancam tahap kesihatan fizikal dan mental mereka, jika terdedah kepada asap rokok dan vape dari usia yang muda.

Bayi, kanak-kanak dan remaja yang terdedah kepada asap rokok dan vape dari ibu bapa atau ahli keluarga terdekat digelar sebagai perokok pasif. Dan mereka berisiko lebih tinggi untuk menerima jangkitan telinga tengah, jangkitan paru-paru yang kerap dan berulang, asma yang tidak terkawal dengan baik, kesukaran pembelajaran, perkembangan pertumbuhan yang lemah, gangguan tumpuan, penurunan prestasi di sekolah, prestasi sukan yang merosot, serta sindrom kematian bayi mendadak (SIDS).

Nikotin, bahan bahaya yang terdapat di dalam rokok, dan hampir kesemua vape, telah diketahui mengakibatkan ketagihan. Jika sistem saraf dan otak golongan yang sedang membesar ini terdedah kepada bahan berbahaya ini dari awal, tentunya akan mengakibatkan ketagihan yang lebih buruk kepada mereka. Dan kajian telah pun menunjukkan yang nikotin merupakan penyumbang utama kepada pembukaan laluan untuk remaja mencuba dan kemudiannya menjadi pengguna bahan larangan seperti dadah dan secara langsung memberi kesan buruk kepada masa depan mereka.

Selain itu, nikotin juga telah terbukti dalam menyebabkan penuaan kulit secara pramatang, peningkatan kadar denyutan jantung yang mengakibatkan tekanan darah tinggi, kanser mulut, esofagus, perut, dan paru-paru, meningkatkan risiko masalah gastrik, pankreas, kencing manis dan strok.

Vape, walaupun ada di antaranya tidak mempunyai nikotin, namun tetap berbahaya kerana kehadiran perisa tambahan dan pewarna di dalam cecair yang digunakan. Malah, kajian menunjukkan terdapat lebih 200 bahan kimia di dalamnya, dan menyebabkan kesan langsung kepada kemerosotan kapasiti paru-paru sehingga mengekang individu daripada melakukan aktiviti fizikal. Ini secara langsung akan menyumbang kepada pertambahan berat badan, dan memburukkan lagi masalah obesiti negara ini yang sudah pun menduduki carta teratas di Asia Tenggara.

Selain bahaya kepada kesihatan fizikal, rokok dan vape di kalangan kanak-kanak dan remaja telah terbukti mengancam kesihatan mental mereka. Kajian menunjukkan terdapat peningkatan kes kemurungan, yang turut mengakibatkan kesukaran pembelajaran, prestasi akademik yang menurun, masalah sosial, dan turut membawa kepada penyalahgunaan dadah.

Di dalam sesebuah institusi kekeluargaan, menjadi kewajipan ibu bapa untuk membimbing anak-anak dengan menjadi suri teladan yang positif dan berakhlak. Jika peranan ini dilaksanakan dengan sempurna, lalu digandingkan dengan diskusi secara terbuka bersama mereka mengenai bahaya rokok dan vape, pastinya akan menghasilkan perubahan yang menjurus kepada impian mencipta generasi bebas asap rokok dan vape.

Sebagai kelompok yang lebih dewasa, kita wajar lebih berwaspada dalam memantau kandungan media sosial yang mempromosi vape secara tersurat dan tersirat kepada anak-anak kita. Sesungguhnya ini sebuah perlakuan tidak bertanggungjawab industri
yang hanya mementingkan keuntungan, dan berusaha sehabis mungkin menghasilkan perokok dari satu generasi ke generasi seterusnya, tanpa berpenghujung.

Rang Undang-Undang Kawalan Produk Merokok untuk Kesihatan Awam 2023 perlu dibentang dan diluluskan sesegera mungkin. Terutamanya kini anak-anak dan remaja kita mempunyai akses yang lebih mudah kepada vape, setelah nikotin dikeluarkan dari Akta Racun pada 1 April yang lalu. Walaupun terdapat notis yang mengatakan produk rokok dan vape hanya boleh dijual kepada individu berumur 18 tahun ke atas, remaja tetap boleh mendapatkannya melalui pelbagai kaedah dan platform, tanpa keperluan pengesahan identiti.

Pemerkasaan penguatkuasaan undang-undang perlu juga dilihat bagi mengimbangi keputusan yang telah dibuat ini, biar apa pun alasannya. Selain peranan keluarga dan ibu bapa, program-program kemasyarakatan dan sekolah yang proaktif juga mampu membantu membentuk persepsi yang betul mengenai bahaya rokok dan vape. Usaha akar umbi sebegini, yang turut menawarkan khidmat sokongan bagi menghentikan tabiat merokok dan vape, pastinya menyumbang kepada perubahan yang diinginkan.

Pihak pengurusan sekolah juga mestilah bersedia untuk mengambil peranan yang melangkaui konteks pengajaran dan pembelajaran dalam menghadang kemaraan bahaya ini kepada anak-anak kita. Perbanyakkan sesi-sesi interaktif berbentuk perkongsian kisah realiti kehidupan masyarakat yang terancam dengan bahaya ketagihan bahan larangan yang bermula dengan penggunaan rokok dan vape.

Dalam kita baru sahaja menyambut sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia ini, marilah kita perbaharui janji dan komitmen kita sebagai penentu masa hadapan anak-anak kita. Tema rasmi yang mengajak kita untuk melabur untuk mereka seharusnya diangkat sebagai sebuah seruan untuk bertindak, dan bukan hanya sebuah slogan semata-mata. Pastikan mereka dibekalkan dengan ilmu pengetahuan dan sokongan secukupnya daripada sekarang untuk berani mengatakan “TIDAK” kepada rokok dan vape.

Siti Idayu Hasan merupakan ahli Kumpulan Penyelidikan dan Kerjasama Ketagihan Nikotin (NARCC) dan Pegawai Impak di Pusat Penglibatan Komuniti Universiti Malaya (UMCares).

 

 

Nur Amani Ahmad Tajuddin merupakan Timbalan Koordinator NARCC dan Pakar Perubatan Keluarga, Fakulti Perubatan, Universiti Malaya.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast