Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini menolak permohonan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mendapatkan kembali pasport antarabangsanya secara kekal dan tanpa syarat.

Hakim Mahkamah Sesyen, Azura Alwi ketika membacakan keputusan berkata, mahkamah menolak permohonan untuk mengembalikan pasport yang dimohon Muhyiddin untuk bercuti bersama keluarganya hujung tahun ini di London sebelum ke Singapura bagi tujuan perubatan.

Kata Azura, Muhyiddin masih lagi berdepan dengan tiga pertuduhan penggubahan wang haram dan mahkamah tidak boleh memulangkan pasport tertuduh secara kekal.

Sebaliknya kata Azura, tertuduh boleh memohon untuk pemulangan pasport secara sementara memandangkan selain bercuti, Muhyiddin juga mendedahkan akan menggunakan peluang ke luar negara bagi tujuan perubatan.

“Mahkamah menolak untuk memulangkan pasport tertuduh secara kekal dan permohonan itu juga bertujuan untuk bercuti bersama keluarga dan perubatan.

“Namun saya benarkan pasport pemohon dipulang sementara bermula hari ini dan di kembalikan pada mahkamah 15 Januari 2024,” katanya hari ini.

Azura membuat keputusan untuk membenarkan pemulangan sementara pasport kepada Muhyiddin memandangkan pendakwaan juga tidak membantah manakala peguam mewakili Muhyiddin, Datuk K Kumaranendran pula memohon supaya ia dipulangkan hari ini.

Kata peguam itu, anak guamnya akan memulakan perjalanan ke luar negara sekitar 17 Disember ini ke Dubai sebelum ke London dan pulang pada 11 Januari depan.

“Kita mohon supaya pasport dipulangkan awal kerana pasport itu sudah luput tarikh dan memerlukan beberapa bagi tujuan pembaharuan sebelum boleh melakukan perjalanan ke luar negara,” ujarnya.

Sebelum ini, Muhyiddin yang juga Presiden Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu)berkata, beliau kebiasaannya membawa keluarga bercuti selama sebulan setiap tahun.

Katanya, membawa keluarganya untuk bercuti tahun ini tidak terkecuali dan ingin membawa mereka ke London, United Kingdom pada akhir tahun.

Selain itu, Muhyiddin menyatakan hasrat untuk ke Singapura bagi menjalani pemeriksaan kesihatan.

Beliau percaya bahawa Hospital Mount Elizabeth ada teknologi canggih bagi membolehkannya membuat pemeriksaan jantung tanpa ujian stres jantung atas ‘treadmill’ atau pengisar injakan.

Pada 2 Oktober lepas, Muhyiddin memfailkan permohonan supaya beliau dilepas tanpa dibebaskan daripada tiga pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM200 juta berkaitan projek Jana Wibawa.

Muhyiddin berdepan dua pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM195 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank milik Bersatu.

Muhyiddin juga didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 13 Mac lepas terhadap satu pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM5 juta dan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen di sini untuk dibicarakan bersama.

Pada 15 Ogos lepas, Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan Muhyiddin daripada empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk suapan berjumlah RM232.5 juta bagi parti Bersatu berkaitan projek Jana Wibawa. -MalaysiaGazette