KAJANG – Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani hanya mendedahkan identiti Mr. H kepada polis walaupun pada sidang media yang diadakan sebelum ini menyatakan terdapat beberapa individu yang terlibat dalam rakaman video yang memaparkan perbualan lucah antara beliau dengan Ketua Pengarah J-KOM, Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff.
Peguam yang mewakili Penolong Pegawai J-KOM itu, Faizal Abdul Rahman mendakwa, ini kerana beliau percaya hanya Mr. H yang menjadi dalang dalam kes tersebut.
“Cuma hari ini kita dedahkan satu nama sahaja iaitu Mr H. walaupun kalau perasan sidang media pada 17 November lalu (Abdul) Wahab ada katakan beberapa nama turut terbabit.
“Tetapi selepas kita meneliti fakta kita percaya hanya Mr H yang sebenarnya dalang sebalik semua perkara dalam krisis ini,” katanya selepas mengiring Abdul Wahab membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, di sini, hari ini.
Pada sidang media yang diadakan pada 17 November lalu di Bangi, Abdul Wahab berkata, dia diarahkan seorang individu berjawatan tinggi di Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), digelar ‘Mr H’ untuk merakam panggilan video bersama Dr Agus yang meletak jawatan sebagai Ketua Pengarah J-KOM.
Menurutnya, semuanya bermula selepas dia bertemu Mr H di pejabat sebelum dibawa bertemu beberapa individu berpengaruh lain di sebuah hotel di Kuala Lumpur.
Menurut Faizal, pihaknya tidak layak untuk mendedahkan indentiti Mr. H dan anak guamnya telah memberi kerjasama yang baik kepada polis pada hari ini dan semalam di Bukit Aman, Kuala Lumpur..
Semalam Abdul Wahab tampil ke Bukit Aman dan dirakam keterangan oleh polis dari Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) D5. – MalaysiaGazette