KUALA LUMPUR – Polis Kuala Lumpur mengingatkan orang ramai sentiasa berwaspada dan tidak mudah terjerat dalam apa jua bentuk penipuan dalam talian baik tawaran kerja, pelaburan tidak wujud atau panggilan telefon sindiket scam.
Ketua Polis Kuala Lumpur Komisioner Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, walaupun jenayah indeks yang direkodkan oleh kontinjen KL di ibu kota menunjukkan penurunan namun jenayah membabitkan siber agak membimbangkan.
“Sepanjang Januari hingga Oktober 2023, pelbagai usaha membanteras jenayah telah dilakukan oleh Polis Kuala Lumpur.
“Jenayah Indeks bagi 1 Januari hingga 31 Oktober 2023 menunjukkan penurunan sebanyak 410 kes atau 10 peratus berbanding tahun 2022 iaitu sebanyak 4173 kes.
“Manakala Jenayah Kekerasan secara keseluruhannya mencatatkan penurunan sebanyak 122 kes iaitu 14 peratus pada tahun 2023 berbanding 895 kes yang direkodkan bagi tahun sebelumnya,” katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan Bulanan Kontinjen Kuala Lumpur pagi hari ini.
Tambah beliau, kadar Jenayah Harta Benda yang direkodkan pada tahun ini turut menurun sebanyak 288 Kes atau 9 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Sementara itu, jenayah komersil terus memperlihatkan peningkatan kejayaan dengan 1,439 serbuan telah dilaksanakan polis membabitkan jenayah dalam talian.
“Manakala sebanyak 83 kertas siasatan telah dibuka membabitkan tangkapan ‘calling centre’ dengan tangkap seramai 1,023 orang bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun ini.
“Selain itu, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) IPK Kuala Lumpur juga melaksanakan 2,549 operasi lain dalam mengekang jenayah-jenayah komersil.
“Situasi yang memang membimbangkan kita adalah jenayah siber di ibu negara atau scam yang masih berterusan dan kita berharap masyarakat lebih berhati-hati supaya tak terjebak dalam scam,” katanya lagi.
Sementara itu bagi usaha memerangi jenayah narkotik pula, Allaudeen menegaskan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik telah merampas pelbagai jenis dadah sepanjang tempoh Januari hingga Oktober 2023 membabitkan nilai rampasan yang berjumlah RM101 Juta berbanding RM122 juta sepanjang tahun lalu.
Katanya, statistik perbandingan tangkapan bagi Januari hingga September 2023 dan tempoh yang sama bagi tahun 2022 turut menunjukkan peningkatan seramai 481 orang iaitu 12,199 orang bagi tahun 2023 berbanding tahun 2022 iaitu 11,718 orang.
Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur adalah sebanyak 57,437 kes dengan pencapaian 99.20 peratus membabitkan pelbagai kesalahan lalu lintas.
“Manakala, pertuduhan kertas siasatan semasa telah mencapai 98.75 peratus dengan kertas siasatan yang dibuka adalah sebanyak 57,437 kes,” tegasnya. – MalaysiaGazette