KUALA LUMPUR – Sabah FC mengesahkan slot pusingan kalah mati saingan Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) selepas menewaskan wakil Singapura, Hougang United 4-1 di Stadium Jalan Besar, Singapura malam ini.
Pada aksi Kumpulan H itu, tuan rumah memberikan gol pendahuluan buat Sabah selepas hantaran leret Daniel Ting ke dalam kawasan kotak penalti tertampan kaki pemain pertahanan Hougang, Naoki Kuriyama yang mahu mengeluarkan bola pada minit ke-16.
Bagaimanapun, keadaan hujan lebat berserta petir memaksa perlawanan yang bermula pada 8 malam itu dihentikan lebih 30 minit.
Sebaik permainan dimulakan semula, skuad Sang Badak terus mendahului permainan 2-0 apabila giliran Darren Lok mencetak nama sebagai penjaring selepas menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-45.
Bersambung babak kedua, hantaran lintang Miguel Angel Garrido Cifuentes ke dalam kotak penalti yang mahu ditanduk keluar pemain pertahanan Hougang, melambung ke atas sebelum Ramon Machado bijak mengambil kesempatan merembat padu menerjah gawang Hougang pada minit ke-50 untuk gol ketiga Sabah.
Memasuki masa kecederaan, pasukan tuan rumah memperoleh gol sagu hati menerusi Gabriel Quak sebelum wisel penamat ditiup.
Keputusan diraih di Singapura itu menyaksikan Sabah selesa menerajui Kumpulan H dengan 12 mata, berbaki satu perlawanan peringkat kumpulan dan akan berdepan wakil Indonesia PSM Makassar pada 14 Disember ini.
Saingan Kumpulan H dalam masa sama menyaksikan wakil Vietnam Hai Phong FC dan PSM Makassar masing-masing berkongsi tujuh mata di kedudukan kedua dan ketiga kumpulan selepas terikat seri 1-1 dalam satu lagi aksi berlangsung malam ini. – Bernama