Zainol (enam dari kiri) menerima kunjungan PENDIKA diketuai Amir (tengah) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka, Bukit Beruang, Melaka petang tadi. Foto: PDRM MELAKA

MELAKA – Isu salah faham antara wartawan Kelab Pengamal Media Melaka (PENDIKA) dan Polis Melaka diselesaikan penuh harmoni dalam satu pertemuan khas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, Bukit Beruang, di sini, petang tadi.

Ketua Polis Melaka, Datuk Wira Haji Zainol Samah berkata, pertemuan ringkas yang berlangsung selama satu jam itu menjurus ke arah usaha untuk memperkukuhkan lagi hubungan dua pihak yang saling memerlukan.

Menurutnya, ia juga bagi mendapatkan pandangan lebih jelas mengenai peranan masing-masing yang diibaratkan seperti isi dan kuku.

“Tidak timbul sebenarnya isu saya mahu menyekat tugas wartawan, PDRM dan media mempunyai tanggungjawab yang sama dalam menjaga keselamatan dan keamanan negara khususnya dalam menyalurkan maklumat kepada masyarakat.

“Saya harap isu ini selesai dan segala isu yang timbul selepas ini dapat diselesaikan dengan baik antara kedua pihak tanpa perlu dilaporkan di media sosial,” katanya.

Zainol (dua kiri) mahu memperkukuhkan lagi hubungan antara Kontinjen Melaka dan pengamal media. – Foto: PDRM MELAKA

Hadir sama, Pengerusi PENDIKA, Amir Mamat dan barisan ahli jawatankuasa kelab itu yang dianggotai 45 pengamal media pelbagai agensi berita dalam dan luar negeri.

Turut sama Timbalan Ketua Polis Melaka, Senior Asisten Komisioner Md Nazri Nawawi dan Ketua Cawangan Khas IPK, Asisten Komisioner Zulkifli Arin.

Ketua Polis Daerah (KPD) Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit, KPD Alor Gajah, Superitendan Arshad Abu dan KPD Jasin, Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi

Mengulas lanjut Zainol yang sudah berkhidmat selama 38 tahun dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkata, beliau akan terus memperkukuhkan lagi hubungan polis dengan media.

“Bagi saya, tiada gunanya salah faham ini dibiarkan berterusan ibarat kalah jadi arang, menang jadi abu yang hanya akan merugikan kedua belah pihak.

“Di zaman kemajuan teknologi hari ini, masyarakat memerlukan media dan polis bersama-sama untuk membuat hebahan bagi membanteras kes-kes jenayah,” katanya.

Sementara itu, Amir berkata, kesediaan Kontinjen Melaka menerima kunjungan PENDIKA amat dihargai dan diharap dapat menjernihkan lagi keadaan mencari titik persamaan menjalankan tugas kepada negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast