KUALA LUMPUR – Legenda Hijau Kuning, Radhi Mat Din mempelawa penyokong setia Kedah memenuhi Stadium Darul Aman bagi menerima kunjungan Selangor FC pada aksi Liga Super pada Sabtu ini.
Menurutnya, sokongan penyokong Sang Kenari pastinya akan membarakan semangat pemain-pemain Nafuzi Zain bagi mengekang asakan skuad pelawat yang pastinya mencuri mata untuk layak dalam kejohanan kelab Asia musim hadapan.
“Jangan lupa hari Sabtu ini, Kedah bertemu dengan Selangor. Perlawanan terakhir di peringkat liga di Alor Setar.
“Mai ramai-ramai pasai (pasal) kita nak pastikan Kedah mengalahkan Selangor dengan sokongan daripada tuan-tuan sekalian.
“Pastikan 2 Disember malam kita penuhi Stadium Darul Aman bagi sokongan moral kepada pasukan Kedah,” katanya yang juga Exco Belia & Sukan Negeri Kedah di laman Facebook Kedah Darul Aman FC, di sini, hari ini.
Kedah kini hanya mempunyai perbezaan dua mata dengan Selangor dengan dua lagi baki perlawanan saingan liga dalam usaha merebut slot tempat kedua untuk Piala AFC musim depan. – MalaysiaGazette