Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh beramah mesra bersama pelancong dari India selepas kerajaan mengumumkan pengecualian visa bagi tempoh 30 hari kepada warganegara China dan India yang bermula 1 Disember 2023 hingga 31 Disember 2024 dalam satu inisiatif Pelan Liberalisasi Visa ketika di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Foto MOHD ADZLAN, 01 DISEMBER 2023.

SEPANG – Jabatan Imigresen Malaysia tidak akan memberikan sebarang kelonggaran memudahcara proses kemasukan pelancong asing khususnya dari China dan India ke negara ini berikutan pelaksanaan Pelan Liberalisasi Visa selama 30 hari, bermula hari ini. hari.

Ketua Pengarahnya Datuk Ruslin Jusoh berkata, segala syarat dan prosedur operasi standard (SOP) yang telah digunapakai selama ini akan diteruskan tanpa sebarang kompromi.

Ia termasuk pemberian Notis Penolakan Masuk (NTL) yang kekal digunapakai untuk pelancong asing dalam Pelan Liberalisasi Visa tanpa pemberian sebarang kompromi atau bertolak ansur.

“Dengan erti kata lain di bawah Pelan Liberalisasi Visa ini proses kemasukkan ke Malaysia dan SOP sedia ada dilaksanakan tanpa sebarang perubahan.

“Ini maklumat penting yang saya mahu kongsikan pada hari ini kerana ramai pihak luar kata bila kita buat Liberalisasi Visa ini semua proses lain mudah.

“Sebenarnya tidak benar, di Imigresen kita tetap sama, syarat-syarat untuk masuk Malaysia kita tetapkan dengan syarat-syarat yang sama dan tidak ada perubahan..SOP tetap sama.

“Langkah ini memastikan kita mempunyai tanggungjawab dan juga pelancong-pelancong mempunyai tanggungjawab apabila mereka berada di Malaysia,” katanya dalam sidang media selepas meninjau operasi JIM sempena Pelan Liberalisasi Visa di Terminal 1 KLIA awal pagi tadi.

Artikel berkaitan: Pengecualian visa 30 hari untuk pelancong China, India – PM

Pengecualian visa pelancong China, India rancakkan TMM2024

5 inisiatif Pelan Liberalisasi Visa untuk jana pendapatan negara

Pengecualian visa 30 hari rangsang ekonomi – MATA

Dalam perkembangan sama, beliau juga menegaskan, syarikat-syarikat penerbangan juga perlu memainkan peranan dengan melaksanakan proses semakan masuk dengan memastikan pelancong-pelancong yang masuk ke Malaysia mempunyai tiket penebangan pulang dan tempahan hotel sepanjang keberadaan dalam negara.

Perkara ini juga salah satu syarat terangkum dalam semakan Imigresen yang mana warga asing yang datang melancong perlu memiliki tiket balik dan juga temoat penginapan sama ada di rumah, rakan-rakan mahupun di hotel yang perlu dibuktikan sebagai proses biasa yang diamalkan di kebanyakan negara di dunia.

“Kita juga akan mewajibkan pengisian data pelancong di dalam digital arrival card (MDAC) atau kad digital ketibaan dan sistem ini juga akan berintegrasi dengan sistem utama JIM,” ujarnya lagi.

Katanya, pasukan khas yang diwujudkan untuk memantau keberadaan pelancong asing mengikut tempoh yang dibenarkan Imigresen melibatkan seramai 25 anggota, ditugaskan dari Ibu Pejabat JIM dan akan ditambah mengikut keperluan dari semasa ke semasa tetapi di perigkat negeri pengarah-pengarah negeri akan memainkan peranan masing-masing.

“Pasukan ini juga akan memantau keseluruhan mana-mana rakyat asing yang masuk ke Malaysia menggunakan visa mengikut tempoh sah laku keberadaan yang dibenarkan dan misalnya jika dia memegang visa bertempoh 60 hari maka mereka mesti keluar dari negara ini selepas tamat tempoh tersebut.

“Anggota pasukan ini akan bertanggungjawab melaporkan selewat-lewatnya setiap 14 hari sekali mengenai berapa ramai pelancong asing yang sudah meninggalkan negara selepas tempoh sah laku keberadaan mereka tamat.

“Pemantauan itu kita akan pastikan dan kita akan cari mereka melalui aktiviti-aktiviti risikan di kawasan panas tumpuan utama yang selalu dikunjungi oleh mereka.

“Jadi aktiviti risikan akan dibuat secara berterusan dan pada tahun depan kita akan mengandakan penguatkuasaan selari dengan Pelan Liberalisasi Visa ini dan juga selari dengan peranan immigration dalam menguatkuasakan kawalan pintu masuk negara,”ujarnya.

Dalam pada itu katanya, tinjauan beliau selama lebih sejam pada pagi tadi di 14 kaunter khas antarabangsa yang disediakan oleh Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) menerima semua pelancong asing dengan lancar dan berpuas hati dengan komitmen para pegawai Imigresen.

Menerusi statistik terkini, JIM telah merekodkan kemasukan seramai 26,004,906 warga asing ke Malaysia.

“Daripada jumlah itu, Singapura mendahului senarai dengan mencatatkan kemasukan 12,645,364 orang diikuti Indonesia (3,166,295 orang) Thailand (2,073,162), China (1,407,471) yang kelima, Brunei 904,841 dan India 780,532.

“JIM juga menjangkakan peningkatan pelancong asing antara 10 hingga 15 peratus pada tahun hadapan khususnya dari China dan India dan mungkin bertambah lagi tetapi sasaran juga akan dibuat oleh pihak Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya selaku agensi yang menguruskan kemasukan pelancong,” ujar beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast