PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan melaksanakan lima inisiatif di bawah Pelan Liberalisasi Visa bertujuan untuk menjana pendapatan negara susulan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tentang pengecualian visa selama 30 hari kepada rakyat China dan India mulai 1 Disember ini.
Menterinya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pelan liberalisasi visa ini akan diperkenalkan dengan penambahbaikan kemudahan imigresen sedia ada yang telah dinikmati oleh pengembara ke Malaysia seperti negara-negara dari Eropah, Asia Tenggara, Timur Tengah dan Asia Barat.
“Inisiatif pertama adalah pemberian pengecualian visa bagi tempoh 30 hari kepada
warganegara China dan India mulai 1 Disember 2023 hingga 31 Disember 2024; pemberian kemudahan Multiple Entry Visa (MEV) bagi tempoh sehingga 30 hari kepada semua pelancong yang ingin masuk ke Malaysia.
“Ia juga merangkumi pemberian Pas Lawatan Sosial (jangka panjang) dengan keberadaan sehingga 12 bulan untuk pelajar antarabangsa yang telah tamat pengajian di Malaysia bagi tujuanmenyambung pengajian, melancong dan bekerja secara sambilan dalam sektor pekerjaan yang dibenarkan mengikut undang-undang di dalam negara.
“KDN membuka peluang ini kepada 23 warga dari negara yang berisiko rendah dan berpendapatan tinggi iaitu Australia, New Zealand, Brunei, Singapura, Korea Selatan, Jepun, Jerman, United Kingdom, Perancis, Kanada, Switzerland, Belanda, Arab Saudi, Kuwait, UAE, Qatar, Oman, Bahrain, Sweden, Norway, Denmark, Finland dan Amerika Syarikat,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.
Turut diperkenalkan pemberian visa transit umrah bagi seminggu melalui agensi pengendali umrah yang berdaftar di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC); dan penambahbaikan tempoh sah laku visa dipanjangkan daripada tiga bulan kepada enam bulan dan tempoh kelayakan Pas Lawatan Sosial diselaraskan kepada minimum 30 hari bagi semua negara yang memerlukan visa untuk masuk ke Malaysia.
Justeru katanya, pelaksanaan pelan liberalisasi visa ini akan diperkukuhkan dengan
langkah kawalan dan penguatkuasaan secara bersepadu dengan agensi-agensi penguat kuasa yang akan dipergiatkan.
Menurut Saifuddin lagi, melalui aspek kawalan dan penguatkuasaan yang dipergiatkan, negara boleh menghindar dari berlakunya isu-isu seperti kebanjiran warga asing dan pendatang tanpa izin (PATI).
Dalam soal kini katanya KDN melalui Jabatan Imigresen Malaysia dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memastikan keselamatan dan ketenteraman awam di Malaysia terjamin dengan mengekalkan pelaksanaan tapisan awal keselamatan kepada semua pengembara ke Malaysia terutama yang mempunyai rekod jenayah atau risiko keganasan.
“Bagi tujuan itu, satu Pasukan khas di bawah Jabatan Imigresen akan memantau pergerakan keluar pelancong China dan India pada tarikh akhir iaitu hari ke-30 mengikut tempoh keberadaan di dalam negara serta akan dilaporkan secara berkala sebagai mekanisme kawalan dan penguatkuasaan.
“Tindakan ini dilaksanakan bagi meningkatkan aktiviti naziran di kawasan yang dikenal pasti sebagai kawasan yang sentiasa menjadi tumpuan warganegara asing seperti di kawasan Masjid India, Plaza Lowyat, Bukit Bintang dan sebagainya bagi membanteras pendatang asing tanpa izin.
“Selain itu, kita juga akan menggiatkan aktiviti risikan dan penguatkuasaan kepada
bukan sahaja pekerja asing tetapi juga kepada majikan yang menggajikan atau melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI),” ujarnya lagi.
Menurut Saifuddin, prosedur ketat pemberian Notis Penolakan Masuk atau Notto-Land (NTL) dikekalkan tanpa sebarang kompromi selain memberikan tanggungjawab kepada syarikat penerbangan untuk menyemak dan memastikan pelancong yang masuk
ke Malaysia mempunyai tiket penerbangan pulang dan tempahan hotel sepanjang keberadaan di Malaysia yang disahkan.
Dalam perkembangan sama, Saifuddin juga memberitahu, KDN akan meneroka cadangan untuk mewajibkan pengisian data di Malaysia Digital Arrival Card (MDAC) yang berintegrasi dengan sistem imigresen MyIMMs bagi memastikan data kemasukan pelancong asing direkodkan.
“Selain itu, kita juga akan mengkaji semula Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan Peraturan Imigresen 1963 berkaitan kadar kompaun, denda dan/atau hukuman untuk tindakan jangka panjang.
“Pelaksanaan pelan liberalisasi visa yang diperkenalkan ini akan dikaji semula selepas
tempoh setahun itu untuk menilai pulangan pelaburan (ROI) kepada negara, keberkesanan insitiatif dan penilaian risiko keselamatan terhadap kemudahan imigresen yang diberikan.
“Sekiranya berlaku sebarang insiden atau kejadian di luar jangkaan sepanjang pelaksanaan itu, maka pelan liberalisasi visa ini akan disemak semula untuk ditambahbaik sebagai persediaan menjelang tahun 2025 dan 2026.
“Ini akan dapat membantu pihak Kerajaan dalam memperkemas dasar dan prosedur berkaitan keimigresenan dan menjamin ketersediaan pasukan imigresen di pintu masuk negara untuk menerima kehadiran pelancong asing dalam tempoh dua tahun akan datang,” ujar beliau lagi.-MalaysiaGazette