PUTRAJAYA – Rombakan Kabinet Kerajaan Perpaduan dijangka dilakukan pada bulan ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjawab demikian kepada media yang menantikan beliau selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Putra Al-Amin Fasa 4, di sini.

Terdahulu beliau menyantuni seorang kanak-kanak lelaki 12 tahun yang turut serta bersama-sama dengan sekumpulan media.

Sebaik sahaja soalan itu ditanya, Anwar bertanyakan semula soalan sama kepada kanak-kanak tersebut.

Berikut adalah perbualan antara Anwar dengan kanak-kanak itu:-

“Mari sini, media nak tanya. Nama siapa…nak tanya apa? soal Anwar.

“Datuk Seri bila rombakan Kabinet? tanya Akmal Afif.

“Akmal nak bila, sebelum ke selepas,” Anwar bertanya kembali.

“Sebelum 2024,” kata Akmal.

Mendengar jawapan itu, Anwar menegaskan beliau bersetuju dengan cadangan Akmal Afif itu.

“Dia jawab sebelum 2024, saya setuju,” ujarnya yang kemudian berlalu meninggalkan perkarangan surau berkenaan.

Terdahulu, Anwar selepas menunaikan solat Jumaat menikmati makan tengahari di surau berkenaan bersama pada jemaah.

Seusai makan tengahari, Anwar melayani sekumpulan kanak-kanak yang turut serta menunaikan solat termasuk Akmal Afif.

Isu rombakan Kabinet menjadi ‘panas’ semula selepas Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa tiba-tiba didakwa akan dikeluarkan daripada portfolio tersebut.

Selain itu, jawatan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup yang masih kosong susulan kematian Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lalu.

Tidak ketinggalan hangat diperkatakan ialah mengenai  pelantikan jawatan Menteri Kewangan kedua dalam Kabinet.

Spekulasi menyebut rombakan Kabinet akan berlaku pada minggu depan selepas Pilihan Raya Kecil Kemaman minggu ini. – MalaysiaGazette