KUALA LUMPUR – Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyifatakn kemenangan besar Pas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman malam tadi akan ‘membuka pintu’ untuk gabungan Perikatan Nasional (PN) ke Putrajaya.
Calon Pas yang memenangi PRK Kemaman itu dilihat gembira kerana mempertahankan kerusi tersebut.
“Terima kasih semua. Apa yang kita hadapi hari ini di Parlimen Kemaman – dengan majoriti tinggi – hasil kerja kuat semua dan ia merupakan pembuka pintu untuk kita menuju Putrajaya,” katanya di Arena Square, Chukai, Kemaman.
Samsuri yang dicabar calon Barisan Nasional (BN) Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor memenangi Parlimen Kemaman dengan majoriti 37,220 undi.
Menteri Besar Terengganu itu mendapat 64,998 undi mengatasi Raja Mohamed Affandi yang mendapat 27,778 undi.
Dengan kemenangan itu, Pas masih menguasai lapan kerusi Parlimen di Terengganu dan 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRU15 dan PRN negeri sebelum ini. – MalaysiaGazette