ISKANDAR PUTERI – Kerajaan Pusat diharap dapat mempertimbangkan pelaksanaan kaedah digital sistem QR Code seperti Singapura bagi pergerakan keluar masuk di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di negeri itu.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, cadangan itu merupakan salah satu daripada tiga cadangan kerajaan negeri dalam melancarkan pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
“Kita juga sedia maklum bahawa Singapura telah mengumumkan pelaksanaan sistem QR Code bagi pergerakan keluar masuk di CIQ bermula 1 Januari 2024.
“Negeri Johor juga berharap Kerajaan Persekutuan dapat mempertimbangkan kaedah digital yang sama bagi melancarkan pergerakan di sempadan yang tersibuk di dunia ini,” katanya demikian ketika sesi penggulungan pada mesyuarat keempat (Belanjawan 2024) Persidangan Kedua Dewan Undangan Negeri Johor ke-15 di Bangunan Sultan Ismail hari ini.
Onn Hafiz juga mencadangkan agar kerajaan Persekutuan melengkapkan infrastruktur utama seperti laluan khas daripada Link Kedua ke Forest City, pembinaan Transit Aliran Ringan (LRT), kereta api berkelajuan tinggi (HSR), servis feri dan kemudahan landing point untuk Air Taxi.
Selain itu, kerajaan negeri mengharapkan dapat melihat kepada insentif fiskal merangkumi insentif percukaian seperti cukai korporat dan individu, duti eksais dan investment tax allowance, kata beliau.
Selian itu Zon Kewangan Khas 9SFZ) di Forest City yang merupakan sebahagian daripada JS-SEZ juga mampu menarik pemain industri kewangan antarabangsa.
“Ini khususnya dari Singapura untuk mengembangkan cawangan atau perkhidmatan sokongan mereka di Forest City,” ujarnya.
Beliau berkata, kerajaan negeri akan terus memberikan perhatian dan komitmen kepada pembangunan ekonomi seperti Ibrahim International Business District (IIBD) dan pembangunan Ibrahim Technopolis (IBTEC).- MalaysiaGazette