ISKANDAR PUTERI – Kerajaan Pusat diminta memperhalusi untuk meneruskan Bantuan Barangan Keperluan Asas (BBKA) dan Bantuan Pembaikan Rumah (BPR) bagi mangsa banjir memandangkan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di Johor masih belum dilaksanakan.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, kerajaan negeri telah dimaklumkan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) mengenai bantuan BBKA dan BPR tidak lagi diteruskan.

Untuk itu, kerajaan negeri merayu agar Kerajaan Persekutuan dapat mempertimbangkan semula keputusan tersebut.

“Selagi projek-projek RTB Johor tidak selesai, bantuan-bantuan ini perlu diteruskan. Realitinya, sebahagian besar isu banjir ini tidak akan selesai selagi projek-projek RTB ini tidak dilaksanakan.

“Semasa mesyuarat penyelarasan banjir, saya terkilan apabila dilaporkan bahawa kerja fizikal projek-projek RTB Johor di daerah Batu Pahat, Kota Tinggi, Segamat dan Kluang yang bernilai RM1.6 bilion belum lagi bermula dan dijadualkan hanya akan siap pada tahun 2030,” katanya ketika sesi penggulungan pada hari terakhir persidangan Dewan Undangan Negeri Johor di Bangunan Sultan Ismail hari ini.

Onn Hafiz berkata, projek RTB itu meliputi kerja seperti menaik taraf sungai, pembinaan lencongan sungai, melebar dan mendalamkan sungai, memperkukuhkan tebing-tebing, membina floodwall, pembinaan kolam takungan banjir serta pembinaan pintu kawalan pasang surut.

“Sebagai langkah penyelesaian jangka masa pendek bagi menangani masalah banjir yang berlaku, enam buah pam mudah alih akan ditambah dengan peruntukan sebanyak RM1.3 juta menjadikan jumlah aset pam bergerak adalah sebanyak 48 pam kesemuanya.

“Berhubung bantuan banjir melibatkan mangsa banjir, kerajaan negeri dengan bantuan NADMA telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM125 juta melibatkan 64,742 ketua isi rumah seluruh Johor dengan pengagihannya telah selesai pada Julai lepas,” katanya.

Onn Hafiz juga berkata, NADMA turut bersetuju menyalurkan Bantuan Ihsan Khas RM9.3 juta iaitu permohonan rayuan dengan 6,512 keluarga akan menerima bantuan sebanyak RM1,000 dengan  sebanyak 1,261 keluarga akan menerima RM2,000 dan 98 keluarga menerima bantuan RM3,000.

Kesemuanya akan disalurkan sebelum hujung bulan ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast