Tangkap layar kamera litar tertutup merakamkan lelaki yang dipercayai menikam penjual mi di sebuah restoran di Ipoh yang tular di Facebook semalam. Foto media sosial

IPOH – Polis sedang memburu lelaki yang dipercayai menikam seorang penjual mi menggunakan pisau di sebuah restoran di Taman Cemerlang Rapat di sini pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, pihaknya menerima makluman mengenai insiden itu selepas beberapa video dan gambar tular di media sosial Facebook.

Menurutnya, semakan polis mendapati kejadian tersebut berlaku sekitar 6 pagi melibatkan mangsa seorang lelaki berusia 44 tahun.

“Mangsa mengalami kecederaan di bahagian perut akibat ditikam menggunakan senjata pisau oleh suspek, seorang pelanggan lelaki yang tidak dikenali.

“Akibat kecederaan itu, mangsa menjalani pembedahan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) dan kini berada dalam keadaan stabil,” katanya dalam satu kenyataan awal pagi tadi.

Beliau berkata, satu laporan polis telah dibuat dan kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan kecederaan dengan menggunakan senjata pisau.

“Kini, pihak polis sedang giat mengesan suspek yang masih bebas untuk membantu siasatan dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian itu diminta tampil membantu dengan menghubungi Bilik Kawalan Daerah (DCC) Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh di talian 05-254 2222,” ujarnya.

Terdahulu, tular beberapa video kamera litar tertutup (CCTV) restoran itu menunjukkan seorang lelaki yang memakai hoodie berwarna putih bercakap dengan salah seorang peniaga gerai makanan di restoran itu.

Kemudian, sebelum secara tiba-tiba lelaki terbabit bertindak menikam peniaga terbabit di bahagian perut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast