Ab Rauf merasmikan penutup Karnival D' Bendang Sungai Rambai, di Kampung Parit Penghulu Benteng, Jasin, Melaka hari ini.

JASIN – Melaka mampu menjadi tuan rumah terbaik dalam penganjuran Sambutan Hari Pelancongan Dunia (WTD) yang dijadualkan berlangsung pada September 2025.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, keyakinan kerajaan Persekutuan dan pihak luar itu hasil daripada ketersediaan prasarana, hospitaliti, komitmen dan kecekapan kakitangan awam bagi memastikan kelancaran program berkenaan.

Menurutnya, Melaka mempunyai kelebihan sebagai lokasi tarikan pelancong, warisan, warisan peninggalan sejarah hinggalah ke keunikan asimilasi budaya serta tradisi rakyat.

“Semua kelebihan ini akan menjadi tarikan kepada pelancong untuk datang serta menjadikan negeri ini sebagai destinasi pilihan.

“Ini sekali gus menjadi titik tolak kepada keyakinan pelabur dari dalam mahu pun luar negara untuk terus merancakkan ekonomi di bumi Hang Tuah ini,” katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian menerusi teks ucapannya yang dibacakan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh ketika merasmikan penutup Karnival D’ Bendang Sungai Rambai di Kampung Parit Penghulu Benteng hari ini.

Ab Rauf Yusoh

Hadir sama, Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Abd Razak Abd Rahman, Exco Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Dr Muhamad Akmal Saleh serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rambai, Siti Faizah Abd Azis.

Melaka dipilih sebagai tuan rumah WTD dan Persidangan Pelancongan Dunia (WTC) 2025 mewakili Malaysia selepas Pertubuhan Pelancongan Sedunia (UNWTO) sepakat memilih negara ini sebagai lokasi penganjuran program berprestij itu.

WTD 2025 dijadual berlangsung pada 27 September 2025, bertemakan `Tourism and Sustainable Transformation’ bertujuan memupuk kesedaran di kalangan masyarakat antarabangsa mengenai kepentingan pelancongan dan nilai sosial, budaya, politik dan ekonomi sejagat.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, pada tahun lalu, Melaka menerima kehadiran 6.04 juta pelancong berbanding 2.7 juta dalam tempoh yang sama pada 2021.

“Daripada jumlah itu, seramai 5.637 juta adalah pelancong domestik dan 406,517 adalah pelancong asing.

“Berdasarkan data ini membuktikan Melaka adalah antara destinasi pilihan utama khususnya bagi pelancongan domestik yang menyumbang enam peratus daripada pelancongan domestik negara,” katanya. – MalaysiaGazette