KUALA LUMPUR – Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, begitulah nasib dialami seorang rakyat Malaysia yang terperangkap dengan sindiket penipuan pekerjaan di Maynmar selepas hilang pekerjaan sebagai pekerja restoran disebabkan pandemik COVID-19.

Mangsa yang ingin dikenali sebagai Anthony, 26, berkata selepas hilang kerja, dia tidak dapat menolak tawaran kerja yang diiklankan menerusi Facebook sebagai jurujual emas di luar negara pada Mac tahun lepas dengan gaji lumayan hingga RM10,000 sebulan.

Menurut Anthony, selepas selesai temu duga dia dibawa ke sebuah hotel di Kajang untuk menginap di sana selama sembilan hari sebelum dibawa ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan berlepas ke Thailand.

“Selepas dua hari tinggal di sebuah hotel di Mae Sot, Thailand, saya sedar saya ditipu sindiket berkenaan dan meminta untuk pulang ke Malaysia.

“Namun, majikan meminta saya membayar segala kos, termasuk tiket penerbangan, pemeriksaan kesihatan dan perbaharuan pasport sebanyak RM3,268.88 (5,000 Renminbi), selain mengugut untuk membakar rumah keluarga saya di ibu negara,” katanya pada sidang media di sini hari ini, yang turut dihadiri Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok Suh Sim.

Anthony berkata disebabkan dia tidak mempunyai wang untuk membayar kos itu, majikannya menghantarnya bekerja di KK Garden, Myanmar bermula April hingga November tahun lepas sebagai ‘love scammer’.

Menurut Anthony, walaupun berhasrat berhenti melakukan kegiatan terbabit, tanpa disedarinya dia telah dijual kepada satu sindiket penipuan cinta di Laukkaing, Myanmar yang didalangi warga China pada November kerana enggan membayar RM3,268.88 itu.

Setelah dipukul sebanyak 50 kali kerana gagal mencapai sasaran pendapatan harian, Anthony berkata dia bertindak melarikan diri dari kawasan itu sebelum ditahan pihak berkuasa Myanmar.

“Saya juga menghubungi kakak di Malaysia pada 5 Nov lepas untuk memaklumkan keadaan saya dan memintanya untuk membawa saya keluar dari situ,” katanya.

Kakak Anthony yang dikenali sebagai Serena dan turut hadir pada sidang akhbar itu berkata selepas dihubungi adiknya meminta diselamatkan, dia terus membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan pada hari berikutnya (6 Nov).

Menurut Serena, dia turut meminta bantuan daripada Ahli Parlimen lain termasuk Kok untuk membawa adiknya pulang ke tanah air.

Dalam pada itu, Kok turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan terutamanya Kementerian Luar Negeri kerana berjaya menyelamatkan mangsa-mangsa sindiket pulang ke tanah air.

“Saya ucap terima kasih kepada kerajaan Malaysia dan China, tanpa kerjasama (daripada kedua-dua negara), kita tidak akan dapat jumpa (dengan mangsa) di sini,” katanya.

Pada Jumaat lepas, 121 rakyat Malaysia berusia 20 hingga 50 tahun yang terkandas di Laukkaing, utara Myanmar ekoran pergolakan di wilayah berkenaan berjaya dibawa pulang ke tanah air melalui pelaksanaan misi evakuasi. – BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast