HARI Sukarelawan Antarabangsa (International Volunteer Day) disambut pada setiap 5 Disember sebagai pengiktirafan di peringkat antarabangsa yang ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sejak tahun 1985.
Sukarelawan bermaksud seorang individu yang mempunyai minat dan kecenderungan seterusnya terlibat dalam sesuatu kegiatan secara sukarela tanpa mengharapkan sebarang imbuhan dan balasan.
Tujuannya adalah untuk menghargai jasa dan sumbangan yang telah diberikan oleh sukarelawan dan untuk meningkatkan lagi kesedaran orang awam mengenai jasa dan sumbangan para sukarelawan kepada masyarakat.
Semangat kesukarelawanan juga bertepatan dengan rukun ihsan dalam agenda Malaysia Madani yang bermaksud ambil peduli dengan masalah orang lain serta belas kasihan terhadap golongan yang sedang berada dalam kesusahan.
Di peringkat universiti awam misalnya, Majlis Sukarelawan Universiti-Universiti Malaysia (MASKUM) di bawah kelolaan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang dianggotai oleh semua wakil universiti awam adalah platform yang sering memainkan peranan dan tanggungjawab dalam melatih dan menyediakan sukarelawan yang diperlukan untuk pelbagai misi bantuan seperti misi bantuan banjir di seluruh negara, selain pelbagai aktiviti sukarelawan lain yang dilaksanakan oleh universiti masing-masing termasuk yang menyumbang ke arah kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan masyarakat.
Sukarelawan Universiti Putra Malaysia (UPM) sendiri sering terlibat dalam pelbagai misi bantuan dan khidmat komuniti di seluruh negara, antaranya misi bantuan pasca banjir seperti menyalurkan bakul makanan serta melaksanakan aktiviti pembersihan rumah mangsa banjir. Secara umumnya semua universiti awam terlibat secara aktif dalam program sukarelawan seperti ini di seluruh negara.
Manakala Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) yang kini diletakkan di bawah Kementerian Perpaduan Negara (KPN) turut bergerak aktif melaksanakan pelbagai misi kesukarelawanan baik di dalam mahupun di luar negara secara lebih sistematik dan terancang menerusi pelbagai khidmat komuniti seperti pemasangan, pembinaan serta penyelenggaraan pelbagai projek fasiliti serta kemudahan awam selain mengendalikan program literasi digital dan keusahawanan sosial kepada kumpulan sasaran.
Selain itu, KPN juga mengiktiraf semua alumni YSS sebagai Duta Perpaduan Negara dan sedang mengkaji keperluan untuk menggubal Dasar Kesukarelawan Nasional yang akan memayungi pembangunan bakat, potensi dan penyediaan platform semua aktiviti sukarelawan negara ini.
Golongan mahasiswa perlu menyahut seruan dan cabaran untuk terus meligatkan aktiviti turun padang melaksanakan lebih banyak lagi program sukarelawan kerana masih terdapat banyak lagi ruang untuk membantu meringankan beban anggota masyarakat.
Pihak sekolah juga wajar mengambil pelbagai inisiatif untuk memupuk semangat kesukarelawanan dalam kalangan murid supaya mereka sedar tanggungjawab terhadap anggota masyarakat terutamanya golongan yang memerlukan pelbagai bantuan.
Jika semua pihak dapat memainkan peranan kita mampu melahirkan lebih ramai sukarelawan, malah kesukarelawanan sewajarnya dijadikan budaya dan amalan setiap individu atas semangat ingin membantu orang lain.
Justeru penglibatan aktif semua lapisan anggota masyarakat dalam program sukarelawan mampu memupuk semangat ingin membantu, prihatin dan simpati dengan masalah orang lain selain mengeratkan perpaduan kerana kita membantu tanpa mengira latar belakang mangsa dan ini sekali gus mendidik diri menjadi warganegara yang bertanggungjawab.
Penulis adalah Timbalan Pengarah Pusat Kokurikulum Dan Pembangunan Pelajar
Universiti Putra Malaysia