“Sebuah bahtera yang kekal berlabuh di pelabuhan, tidak akan memenuhi tujuan ia dibina.” Itulah kata-kata renungan ahli falsafah abad ke-19, William Shed. Demikian juga teknologi berpotensi tinggi, pasti tidak ada nilai sekiranya tidak eksploitasi sepenuhnya.
Seperti tahun 2020 yang dibelenggu pandemik Covid-19, penggunaan teknologi digital merupakan ‘bahtera’ yang mengubah cara kita berdaya tahan melawan bala penyakit berjangkit. Malangnya, bahtera ini gagal berlayar memenuhi hala tujuan mengharungi lautan pandemik, yang berpotensi kembali melanda.
Walaupun teknologi digital menawarkan pelbagai kegunaan dan kebaikan dalam penjagaan kesihatan, selepas ribut pandemik yang lalu, ramai di antara kita terlepas pandang bagaimana teknologi ini telah memberi impak positif sepanjang pandemik. Saya percaya hampir kesemua rakyat seluruh negara mendapat manfaat daripada aplikasi MySejahtera. Inilah platform yang membawa perkhidmatan menyeluruh kepada kita semua, walaupun terdapat beberapa masalah kecil yang mungkin dihadapi oleh sesetengah pihak pada awal pelaksanaannya.
Aplikasi milik kerajaan ‘MySejahtera’ ini mencerminkan bagaimana teknologi digital dapat memberi manfaat yang signifikan apabila diserapkan dalam sistem kesihatan negara. Teknologi dan persekitaran digital menawarkan peluang baru untuk mengenal pasti penyampaian penjagaan kesihatan dari peringkat pencegahan, kesihatan proaktif ke intervensi kurasi dan pengurusan kendiri. Pengurusan kesihatan proaktif, yang dibantu alat digital, dapat memberi manfaat terhadap pencegahan penyakit dan peningkatan kebajikan serta kesejahteraan secara keseluruhan.
Sebagai contoh, baru-baru ini, saya membaca artikel yang menyatakan bahawa Malaysia mempunyai statistik diabetes tertinggi di Asia Tenggara. Pendedahan ini mendorong saya untuk merenung tentang pentingnya intervensi awal dan impak positif kemajuan teknologi dalam penjagaan kesihatan.
Pengalaman saya sendiri, khususnya melihat datuk yang berjuang mengharungi masalah diabetes, menyedarkan saya tentang kurangnya akses kepada teknologi dan maklumat yang dihadapi oleh individu di masa lalu. Di zaman itu, akses kepada teknologi perubatan terhad, dan Datuk sering menyatakan keinginannya untuk lebih prihatin tentang dietnya, supaya mengelak komplikasi kesihatan yang timbul ketika umur lanjut.
Tiga tahun selepas pandemik, MySejahtera masih kekal relevan, antara lainnya memudahkan penjadualan temujanji dan penyimpanan rekod kesihatan. Hingga hari ini, ahli keluarga saya masih menggunakan aplikasi ini di telefon mudah alih kami. Sesetengah kenalan saya menyesal kerana menyah-aktifkan aplikasi ini dari telefon mereka, kerana gagal menyedari potensi kegunaannya pasca pandemik.
MySejahtera memudahkan pengurusan dan pemantauan kesihatan keluarga kami secara proaktif. Ini membolehkan kami mengambil keputusan terbaik tentang kesejahteraan dan pasti akan menyumbang kepada pengurusan kesihatan kita dengan lebih baik, yang boleh membantu mencegah penyakit jangka panjang. Aplikasi ini tidak hanya menawarkan maklumat mengenai penyakit lazim di kalangan rakyat Malaysia, tetapi juga menyimpan data kesihatan peribadi terpenting, termasuk BMI. Maklumat ini berfungsi sebagai asas untuk penjagaan diri yang lebih baik dan pembuatan keputusan yang berinformasi. Dengan maklumat di hujung jari, kita boleh bersama-sama berusaha ke arah masyarakat yang lebih sihat dan berdaya tahan.
Sejujurnya, menjaga kesihatan dari awal merupakan langkah terbaik pengurusan kesihatan kendiri. Dalam kes datuk, sudah tentu jika beliau mempunyai akses kepada teknologi dan maklumat seperti yang sedia ada hari ini, beliau dapat mengurus kesihatannya dengan lebih proaktif.
Impak positif teknologi dalam pengurusan kesihatan tidak dapat disangkal lagi dan saya berharap kerajaan akan mengambil langkah untuk memperluaskan lagi penggunaan teknologi digital hari ini. Adalah penting untuk rakyat Malaysia merangkul aplikasi ini dalam penjagaan kesihatan mereka. Teknologi dan persekitaran digital telah tiba dan terus menambahbaik kehidupan kita. Kita berharap agar bahtera ‘teknologi digital’ tidak kekal berlabuh di pelabuhan, tetapi bakal berlayar mengharungi cabaran kesihatan, meningkatkan daya tahan kita dengan cemerlang.
Noreen Jasmy
Kuala Lumpur