Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim (kanan) dalam dalam Wawancara Khas Setahun Bersama Kerajaan Madani: Tiwikrama Perdana Menteri yang disiarkan TV3 malam ini.

KUALA LUMPUR – Kerajaan mempertimbangkan untuk meneruskan program eMadani bagi membantu golongan M40 menangani kesan kenaikan harga barangan selepas penyasaran subsidi khususnya untuk minyak dilaksanakan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, inisiatif melibatkan kira-kira 10 juta golongan M40 itu akan menggunakan kaedah sedia ada.

Beliau yang juga Menteri Kewangan memberitahu, suntikan dana Sumbangan Tunai Rahmah (STR) kepada golongan B40 juga akan ditingkatkan bagi menampung kesan terhadap kos sara hidup selepas pelaksanaan penyasaran subsidi.

“Kalau ada penyasaran (subsidi) minyak, kita juga akan perkenalkan kaedah yang sama. Kalau naik, minyak orang guna RM100 sebulan, kita akan tampung RM100 supaya tidak terkesan.

“Harga nampak naik tetapi kita tampung dengan dana suntikan STR,” katanya dalam Wawancara Khas Setahun Bersama Kerajaan Madani: Tiwikrama Perdana Menteri yang disiarkan TV3 malam ini.

Anwar menambah, Program Jualan Rahmah yang kini diadakan di setiap kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negara juga akan dipertingkatkan bagi mengurangkan beban rakyat.

Berhubung ura-ura rombakan Kabinet dalam masa terdekat, beliau berkata, langkah itu perlu dilakukan sekiranya ada menteri yang menunjukkan pretasi yang ‘meleset’.

Anwar memberitahu, rombakan juga mungkin dibuat berdasarkan kekuatan parti-parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan.

“Semua itu harus diambil kira, tidak lama lagi saya telah beritahu,” jelasnya.

Beliau juga berpandangan, tempoh setahun belum mencukupi bagi membuat penilaian yang adil terhadap prestasi menteri-menteri Kabinet termasuk dirinya sendiri.

“Kalau ada penyesuaian berdasarkan pengalaman kita satu tahun, kita akan lakukan termasuk menambah sekiranya perlu,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast