KUALA LUMPUR – Veteran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang sepatutnya menasihatkan rakan sekutunya, UMNO, mengenai pertukaran Presiden.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, Kit Siang sepatutnya bimbang dengan keadaan UMNO yang semakin hilang sokongan.
“Jika Tan Sri Lim berasa berhak untuk menimbulkan persoalan mengenai perubahan kepimpinan parti-parti selain DAP maka lebih tepat dan berfaedah jika beliau menasihati parti sekutunya dalam kerajaan, khasnya UMNO yang jelas semakin kehilangan sokongan dalam kalangan ahlinya sendiri, apatah lagi orang awam.
“Keadaan ini sepatutnya lebih membimbangkan Tan Sri Lim, terutamanya apabila kepimpinan UMNO turut terpalit dengan kes-kes jenayah besar yang pernah ditentang oleh DAP sendiri tidak lama dulu,” dakwa Takiyiddin.
Beliau menggulas kenyataan veteran DAP itu yang menimbulkan persoalan sama ada Tan Sri Abdul Hadi Awang akan memberi laluan kepada Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar untuk menjadi presiden.
Takiyuddin berkata, sebagai ahli politik Kit Siang sepatutnya menyerdari bahawa calon UMNO Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor kehilangan kira-kira 20,000 undi dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Terengganu Sabtu lepas.
“Trend ini sangat jelas dalam semua PRK yang diadakan selepas PRU15 baik di Terengganu, Johor mahupun Pahang.
“Justeru lebih bermanfaat sekiranya Tan Sri Lim Kit Siang memberi tumpuan kepada masalah dalaman PH-BN sendiri, serta isu kehilangan sokongan dan populariti yang dialami oleh Putrajaya.
“Bukannya terus bermain politik picisan, hipokrit, hyperbole dan spekulatif yang tidak akan membantu mewujudkan masyarakat serta negara yang lebih baik, jujur dan demokratik,” katanya.
Takiyuddin berkata, Pas tidak mempunyai masalah dengan kepimpinan Abdul Hadi dan kedudukannya sebagai presiden hanya dicabar sekali namun gagal.
Pencapaian Pas bawah kepimpinan Abdul Hadi adalah yang terbaik jika dibandingkan dengan era sebelumnya.
“Pas kini merupakan parti tunggal terbesar dengan kerusi terbanyak di Parlimen, menguasai pentadbiran empat negeri dan mempunyai wakil di semua Dewan Undangan Negeri di Semenanjung,” kata beliau.
Kit Siang sebelum ini menyatakan keyakinan Ahmad Samsuri yang dilihat lebih sederhana dan terbuka mampu membawa Pas ke tahap lebih jauh jika menjadi presiden parti itu.
Bagaimanapun, veteran DAP itu mempersoalkan sama ada Abdul Hadi akan memberi laluan kepada Ahmad Samsuri untuk jawatan tersebut.-MalaysiaGazette